Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

GALERI GAMBAR

Lebih 20,000 surat bantahan kenaikan cukai taksiran dihantar ke ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini oleh penduduk ibu negara bersama wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Protes yang dijadualkan hari ini telah diganti dengan sesi 'bertemu pemimpin', kira-kira 500 penduduk dan penyokong turut memenuhi perkarangan bangunan DBKL.

NONEMereka tidak melepaskan peluang menjerit slogan mahukan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Tengku Adnan Tengku Mansor membatalkan rancangan kenaikan cukai sehingga 300 peratus tersebut.

Hampir semua ahli Parlimen Pakatan Rakyat Kuala Lumpur turun mengetuai orang ramai berhadapan dengan kawalan ketat di ibu pejabat DBKL di Jalan Raja Laut hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mengesahkan surat tersebut diterima di kaunter dan dicop oleh pegawai berkenaan.

Beliau bagaimanapun terkilan kerana tidak dapat menyerahkan terus kepada Datuk Bandar Tan Sri Ahmad Phesal Talib sendiri.

"Saya hanya dapat hantar ke kaunter sahaja.

"Saya minta perkara ini turut dibahaskan semula di parlimen kerana (perbahasan) sebelum ini terlalu singkat," kata beliau hari ini.

Datuk Bandar janji teliti

Sementara itu, Datuk Bandar dilihat turut meninjau ketika penduduk berkumpul di kawasan air pancut di perkarangan ibu pejabat DBKL kira-kira jam 10:45 pagi.

Beliau berjanji akan meneliti dan melihat semua bantahan yang diterima sebelum kembali ke pejabatnya.

Penduduk yang berang dengan tindakan tidak dibenarkan bertemu Datuk Bandar itu mula bersorak memanggil Ahmad Phesal turun kembali.

Mereka turut bersorak agar Datuk Bandar itu meletak jawatan tatkala wakil-wakil rakyat menghantar surat bantahan di kaunter sambil berpuluh kakitangan keselamatan DBKL menjaga pintu masuk pejabat.

NONESementara itu, ahli Parlimen Batu Tian Chua menegaskan kenaikan cukai taksiran ini hanya mendatangkan kemarahan dan menindas rakyat Malaysia.

Beliau merujuk pada kenaikan elektrik, bahan Api, pemotongan subsidi gula serta cadangan kenaikan tol serta tambang pengangkutan awam yang telah atau bakal dihadapi warga kota.

"Bila kenaikan sebegini berlaku, mangsa pertama ialah rakyat Kuala Lumpur," kata beliau.

Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai pula mencadangkan DBKL kembali menerima mereka yang benar-benar mahu berkhidmat sebagai ahli majlis.

"Harapan Pakatan dan rakyat adalah agar pilihanraya tempatan diadakan semula agar DBKL lebih menghormati dan memahami hati rakyat," kata beliau.

NONECubaan Malaysiakini untuk mendapatkan komen dari DBKL gagal kerana media langsung tidak dibenarkan masuk ke pejabat DBKL.

Jumaat lalu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta penduduk ibu negara tidak turun berdemonstrasi membantah kenaikan cukai taksiran perumahan DBKL hari ini.

Beliau berkata kerajaan belum lagi membuat keputusan dan akan mendengar setiap aduan mengenai hal tersebut sehingga tarikh tutup pada 17 Disember ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Putrajaya itu menegaskan tiada kata putus mengenai kenaikan cukai tersebut, yang hanya akan diketahui selewatnya minggu terakhir bulan ini.

ADS