Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MP Shah Alam Khalid Abdul Samad menegur pentadbiran kerajaan negeri dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang didakwa menimbulkan banyak “kerenah birokrasi” sehingga menimbulkan konflik dengan pemaju.

NONE Konflik berkenaan seterusnya menjejaskan pembangunan di Selangor, kata Khalid yang memberi contoh dua projek di kawasannya – pembinaan jalan alternatif ke Padang Jawa dan juga pembinaan satu kompleks pameran perabot.

Katanya, kerajaan negeri dan PBT sepatutnya dapat mentadbir dengan bersih dan pada masa yang sama menjalin kerjasama yang baik dengan sektor swasta.

"Perhubungan kerajaan negeri, pihak berkuasa tenpatan dan pemaju tidak patut 'berlaga' antara satu sama lain.

"Kerajaan negeri boleh jadi kerajaan yang bersih tanpa korupsi walaupun dengan kerjasama baik dengan sektor swasta," kata beliau dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Khalid menjelaskan, kerajaan negeri telahpun meluluskan pembinaan jalan alternatif ke Padang Jawa pada awal tahun ini bagi mengatasi masalah kesesakan di satu-satunya jalan sedia ada.

Mengulas isu pembinaan jalan alternatif Padang Jawa, Khalid berkata satu-satunya jalan keluar masuk ke kawasan tersebut tidak mampu menampung jumlah kenderaan, yang menyebabkan berlaku kesesakan.

Namun pembinaan projek jalan alternatif menghubungkan Padang Jawa ke Seksyen 17 itu masih belum dijalankan.

Jelasnya, masalah berkenaan pada awalnya timbul kerana jajaran jalan tersebut perlu merentasi kawasan sebuah kuil.

"Pihak kuil telah menyatakan sokongan mereka untuk memberi sedikit tanah sebanyak tiga ekar dari kawasan kuil bagi memberi laluan kerja-kerja pembinaan jalan alternatif.

"Namun sehingga kini MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam)  tidak memulakan projek tersebut," kata beliau.

"Kita tidak mahu rakyat di Padang Jawa menganggap rancangan itu tidak dibuat kerana mendapat bantahan daripada pihak kuil," katanya.

Masalah birokrasi melibatkan MBSA seperti itu turut menjejaskan satu projek pembinaan kompleks pameran perabot di satu kawasan bersebelahan Lebuhraya Persekutuan di Shah Alam.

Jelasnya, kelulusan projek dipenuhi pada 2008 dan pembinaan pada 2010 namun ia masih gagal disiapkan sehingga sekarang.

"Projek itu sepatutnya dilancarkan awal tahun depan. Pemilik sudahpun memanggil beberapa pereka antarabangsa untuk terlibat namun terpaksa ditangguhkan kerana masalah 'red tape' (birokrasi)," kata Khalid.

Katanya, maklumat itu adalah berdasarkan dari surat aduan dari pemaju dan pemilik kompleks berkenaan.

Tambahnya pihak berkenaan tidak berpuas hati kerana terlalu banyak dokumen, prosedur dan kelulusan diperlukan daripada MBSA berkenaan pembinaan yang menyebabkan kerja pembangunan berjalan amat lambat.

"Banyak lagi projek yang bermasalah di Shah Alam. saya akan dedahkan satu persatu," kata beliau.

ADS