Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'A' meningkat, tapi laporan antarabangsa merosot
Diterbitkan:  Dec 21, 2013 6:19 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mempersoalkan perbezaan persepsi dalam sistem pendidikan Malaysia dalam pengamatan kerajaan dan badan antarabangsa.

Beliau memberi contoh laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) yang mencerminkan keadaan yang membimbangkan dalam sistem pendidikan Malaysia.

"Pada tahun 2011, Laporan TIMMS melaporkan kejatuhan kedudukan Malaysia untuk subjek Matematik iaitu dari 16 (1999), 10 (2003), 20 (2007), dan 26 (2011) sementara subjek Sains pula ialah 22(1999), 20 (2003), 21 (2007), dan 32 (2011).

"Kejatuhan markah purata bagi subjek Matematik iaitu 519 (1999), 508 (2003), 474(2007) ke 440 (2011); jatuh 79 mata sementara subjek Sains iaitu 492 (1999), 501 (2003), 471 (2007) ke 426 (2011).

"Yang menghairankan adalah kontradiksi yang diperlihatkan menerusi Laporan Lembaga Peperiksaan - rekod pelajar yang mendapat A dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut semakin meningkat dari tahun ke tahun di dalam peperiksaan PMR. Apakah yang sebenarnya berlaku?" kata beliau dalam ucapan aluan di kongres pendidikan NGO 'Teach For The Needs' (TFTN) hari ini.

Izzah menambah laporan PISA tahun lalu turut menyebut kegagalan sistem pendidikan Malaysia yang menurutnya perlu 'diterbalikkan' bagi memastikan kualiti pendidikan dapat ditingkatkan.

"Menjelang 2013, sebuah lagi laporan pendidikan diterbitkan. Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah mengeluarkan laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012.

“Sekali lagi rakyat Malaysia dikejutkan dengan prestasi pelajar Malaysia yang semakin merudum. Terkini, pelajar tingkatan 3 Malaysia setaraf dengan pelajar Darjah 5 dari Singapura dan Korea Selatan!"

'Pendidikan bukan tetap kerjaya'

Beliau mengkritik bahawa landskap pendidikan negara pada hari ini tidak menjuruskan kepada penjanaan idea dan pemikiran kritis hingga menyebabkan generasi hadapan tidak gemar berfikir melangkaui sempadan akademik.

Izzah yang juga naib presiden PKR berkata tujuan pendidikan seharusnya mencungkil bakat dan potensi pelajar semaksima mungkin dan bukannya menetapkan ke arah kerjaya tertentu semata-mata.

"Dahulu selepas merdeka, anak-anak muda berebut untuk menjadi askar, polis ataupun cikgu. Ini merupakan pekerjaan tersohor di waktu itu. Tidak lama selepas itu, apabila negara menyambut arus pembangunan,anak-anak pula digalakkan untuk mengambil bidang kejuruteraan atau perubatan. Sama ada anak-anak itu mampu atau tidak itu soal kedua.

"Melihat masa hadapan, satu pembangunan holistik adalah dituntut. Pendidikan perlu di terbalikkan. Pendidikan dahulu telah menetapkan penghujung jalannya. Anak-anak di tetapkan untuk menjadi jurutera atau doktor dari kecil. Pendidikan sepatutnya merungkai potensi anak-anak semaksima mungkin," kata beliau.

Justeru beliau memuji TFTN yang telah bersikap jujur dan berani dalam percubaan menyelesaikan masalah pendidikan tanah air.

Beliau menceritakan betapa beliau pada mulanya sinis namun berubah apabila melihat sendiri 40 orang pelajar darjah 6 yang buta huruf di sebuah sekolah rendah di Lembah Pantai.

"Setelah dipertemukan sendiri dengan anak-anak bijak namun buta huruf ini, jalan penyelesaian terbaik adalah dengan membawa sukarelawan-sukarelawan TFTN masuk; mereka yang apolitikal, mereka yang tidak partisan, dan mereka yang bersedia menabur bakti untuk memperbaiki lompang-lompang buta huruf sedemikian - supaya semua anak-anak di Malaysia diselamatkan dengan keupayaan asas untuk maju ke depan," kata beliau.

TFTN merupakan gerakan yang mengumpulkan guru, sukarelawan dan aktivis untuk turun mengadakan kelas-kelas percuma kepada pelajar yang ketinggalan dari segi pendidikan.

ADS