Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas imam dituduh miliki buku ajaran Syiah

Seorang bekas imam dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Muadzam Shah di Rompin hari ini atas dua pertuduhan menyimpan buku-buku mengenai ajaran Syiah pada September tahun lepas.

    

Abdullah Isa, 65, yang berasal dari Kelantan dan bertugas sebagai penyelia ladang di Keratong, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

    

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyimpan buku-buku yang mengandungi ajaran Syiah yang bertentangan dengan fatwa dikeluarkan melalui Warta Kerajaan Negeri Pahang bernombor 1564 di No. 78, Kompleks Perumahan Risda Espeks Ulu Keratong, Muadzam Shah pada 2 petang, 27 Sept lepas.

    

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menyimpan buku-buku mengandungi ajaran Syiah yang bertentangan dengan mazhab-mazhab empat iaitu Syafi'e, Hanafi, Hambali dan Maliki pada tempat dan waktu yang sama.

    

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 dan penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan.

Abdullah dalam rayuannya meminta Hakim Syarie Abu Kasim Pilus mengurangkan wang jaminannya kerana perlu menyara persekolahan tiga anaknya, selepas Timbalan Pendakwa Raya Syarie Shamsul Kamal Kamarudin memohon mahkamah mengenakan jaminan RM500 bagi setiap pertuduhan.

    

Abu Kasim kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    

Dia membayar wang jaminan itu.

    

Pada 27 September lepas, pegawai dan anggota Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menahan Abdullah selepas menerima aduan daripada orang awam yang mengesyaki tertuduh mengamalkan ajaran Syiah termasuk menyimpan barangan seperti buku dan tasbih yang menjurus kepada fahaman itu.

    

-Bernama

ADS