Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Syarikat pembinaan Castmet yang didakwa mendiskriminasikan penyanyi bertudung menjelaskan, mereka menolak Marinatasha Isnariah Mustapar membuat persembahan dalam majlis makan malam tahunan mereka kerana ia tidak sesuai.

Pengarah kewangannya Yong Pey Ling berkata, Marinatasha tidak sesuai kerana majlis itu mengkehendakinya berinteraksi dan bercampur dengan tetamu.

Malah, katanya, penyanyi kumpulan Rufus - dengan empat orang keanggotaan itu - bukan artis yang dipersetujui bersama syarikat pengurusan acara untuk majlis mereka.

“Saya dan... (seorang anggota jawatankuasa) juga memaklumkan Cik Marinatasha ( kiri ) bahawa beliau bukan penyanyi yang dijanjikan kepada kami untuk acara itu.

“Justeru kami memintanya tidak membuat persembahan kerana persembahan itu memerlukannya menari dan menyanyi bersama tetamu, yang kami dapati tidak sesuai untuk seorang penyanyi perempuan bertudung,” katanya seperti dalam laporan polis balasnya.

Yong menjelaskan, Castmet dan syarikat pengurusan acara berkaitan sebelum itu telah sepakat memilih seorang penyanyi yang pernah popular dengan rancangan Akademi Fantasia kelolaan Astro.

Yong membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Brickfields di Kuala Lumpur kelmarin.

Marinatasha dalam sidang medianya di Kuala Lumpur semalam, dengan sebak, mendakwa diarah menghentikan persembahan dalam majlis itu dan diminta turun pentas dan dimarahi kerana bertudung.

Beliau membuat laporan polis di balai polis Sentul pada Ahad lalu dan mendakwa dikrisminasi.

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) juga dalam sidang media bersama Marinatasha menuntut Castmet memohon maaf atau berdepan tindakan undang-undang.

Pengurus acara: Mereka runding terus

Sementara itu, syarikat pengurusan acara Red on Black itu ketika dihubungi menjelaskan, walaupun Castmet meminta mereka membekalkan artis untuk acara itu, rundingan akhirnya dibuat secara terus.

“Mereka tidak kembali kepada kami sebaliknya runding terus. Bayaran juga dibuat terus kepada band,” kata pegawainya Mohd Solih Toha.

Menjawab SMS kepada Malaysiakini hari ini, Solih berkata, pihak-pihak lain tidak perlu dipersalahkan, termasuk artis Akademi Fantasia itu.

“Ia antara Marina (penyanyi) dan Shanon (Yong)... dan saya percaya malah bukan Casmet pun, kerana penonton lain, termasuk Tan Sri OK dengannya,” katanya lagi.

Majlis ada minuman keras

Sementara itu, ketika kunjungan Malaysiakini ke ibu pejabat Castmet di ibu negara hadir mendapati Yong sedang bercuti dan difahamkan tertekan dengan kontroversi itu.

Seorang kakitangan kanan syarikat itu juga memaklumkan mereka menerima banyak panggilan telefon dan SMS berhubung isu itu.

Kakitangan yang enggan namanya disebut itu juga menafikan mendiskriminasi perempuan bertudung kerana banyak pekerjanya yang berkhidmat dengannya tidak dihalang memilih cara pakaian masing-masing.

"Mustahil syarikat (Castmet) diskriminasi wanita bertudung, majoriti kita (pekerja) wanita bertudung, saya sendiri bertudung tak jadi masalah pun," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Astro Awani melaporkan Pengarah Urusan Castment Tan Keh Wah sebagai berkata, keputusan tidak melibatkan Marinatasha disebabkan majlis tersebut menghidangkan minuman keras dan penyanyi dikehendaki mesra dengan tetamu yang kebanyakan lelaki bukan Islam.

"Demi menjaga maruah dan sensitiviti orang Islam, syarikat telah bertegas untuk tidak melibatkan penyanyi yang bertudung dalam majlis tersebut,” Tan dipetik sebagai berkata.

ADS