Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda PAS akan memohon mengadap Yang Di-Pertua Agong bagi membantah sebarang usaha melantik Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri seperti yang diura-urakan, selagi tidak dibersihkan daripada dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pemudanya Suhaizan Kaiat (kemeja oren) berkata pihaknya berharap Yang di-Pertuan Agong mempertimbang untuk tidak melantik Taib ke jawatan itu ekoran spekulasi beliau akan melepaskan jawatannya dan menggantikan Tuan Yang Teritama Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Abang Muhamad Salahuddin akan tamat perkhidmatan pada 28 Februari ini.

"Terdapat maklumat tidak rasmi bahawa Tan Sri Taib Mahmud akan dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak. Pemuda PAS memandang serius perkara ini kerana beliau sering dikaitkan dengan rasuah dan salahguna kuasa selama ini.

"Pemuda PAS mendesak agar beliau dibersihkan terlebih dahulu daripada segala tuduhan rasuah dan salah guna kuasa," kata Suhaizan dalam sidang medianya hari ini.

Suhaizan berkata Bruno Manser Fund (BMF) yang berpengkalan di Switzerland menganggarkan aset keluarga Taib bernilai RM64 bilion tetapi tiada pendakwaan dibuat ke atasnya sekalipun kertas siasatan dibuka.

Sehubungan itu, kata Suhaizan, peletakan jawatan Taib adalah waktu terbaik bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula kertas siasatan sebelum ini ataupun membuat siasatan baru ke atas Taib.

"Pemuda PAS melihat SPRM seolah-olah berhalangan untuk mendakwa malah kami dimaklumkan (SPRM) gagal menyiasat sepenuhnya mungkin kerana kuasa yang dimilikinya.

"Pemuda PAS akan menghantar memorandum kepada SPRM untuk mendesak beliau disiasat dan didakwa," katanya.

Suhaizan turut menuntut penjelasan daripada Pusat Zakat Sarawak, Lembaga Hasil Dalam negeri dan Jabatan Peguan Negara berkenaan status zakat, cukai dan skandal Taib selama 33 tahun mentadbir negeri itu.

ADS