Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai TUDM mengaku tak salah kes SMS, dakwat kekal

Seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tentera hari ini terhadap lima pertuduhan memberi kenyataan media berkenaan isu dakwat kekal dan dua tuduhan menghantar khidmat pesanan ringkas berbaur politik dan hasutan.

Pegawai dari Pengkalan Udara Butterworth itu menghadapi lima pertuduhan di bawah Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 dan dua pertuduhan di bawah Seksyen 51 di bawah akta sama.

Kes tersebut didengar di hadapan Kolonel Saadon Hasnan yang bertindak selaku yang dipertua mahkamah bersama lima ahli mahkamah terdiri daripada Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S Nadzeer Sallehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.

Tertuduh diwakili peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar sementara pendakwaan dilakukan Mejar Ahmad Sanusi Ali, Kapten Fadzil Nor Alias, dan Kapten Ross Anuar Aripin.

Bagi pertuduhan pertama, dan kedua, Mejar Zaidi didakwa "di perkarangan Balai Polis IPD Kepala Batas pada 1 Mei 2013 melanggar Perintah Majlis Angkatan Tentera No 13 Tahun 1961, Discipline and Security - Communication of Information and Publication of Articles by Members of the Armed Forces," di bawah Para 5 dan Para 13.

Di bawah Para 5, beliau didakwa "dengan membuat kenyataan media untuk menyatakan rasa tidak puas hati berhubung isu dakwat kekal yang sepatutnya perkara tersebut disiasat melalui saluran angkatan tentera" dan dibawah Para 13 beliau didakwa "dengan membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal tanpa mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Pertahanan".

Bagi pertuduhan ketiga, keempat dan kelima, beliau di Taman Bertam Indah pada 3 Mei 2013 didakwa melanggar perintah yang sama di bawah Para 5 dan Para 13 serta satu lagi kesalahan di bawah Para 3, iaitu "dengan menyiarkan maklumat rasmi berupa kawat tumpangan keluar kepada pihak media tanpa mendapat kelulusan daripada Majlis Angkatan Tentera".

Bagi pertuduhan keenam, beliau semasa bertugas di Pangkalan Udara Butterworth pada 1 Mei 2013 didakwa "telah melanggar perintah tetap pengkalan iaitu Perintah Bahagian 2 Perintah No 51, dengan menghantar khidmat pesanan ringkas berbaur politik dan/atau hasutan dengan menyatakan "Ayuh mempertahankan ibu pertiwi dri djajah oleh penipu dan perasuah, jgn jd bacul dan nnt anak cucu kencing d atas kubur kita" iaitu suatu perintah yang diketahui atau sepatutnya dia mengetahui."

Bagi pertuduhan keenam pula beliau dituduh melakukan kesalahan serupa dengan kandungan SMS berikut "Sama2 lah kita berdoa agar Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua serta dilindungi negara kita yang tercinta ini dari diperintah oleh SIPENZALIM, PEMFITNAH, PERASUAH, PENIPU DAN PENGANJUR PGRM2 MAKSIAT" .

Mahkamah bersetuju dengan permintaan Mejar Zaidi yang mahu kes-kesnya dibicarakan sekali kerana semua pertuduhan adalah hampir serupa.

Kes akan didengar semula pada 8, 9, dan 10 April depan di Mahkamah TUDM pada jam 9 pagi.

ADS