Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis buka 3 kertas siasatan terhadap Anwar
Diterbitkan:  Feb 11, 2014 11:46 AM
Dikemaskini: 4:03 AM

Polis membuka tiga kertas siasatan terhadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakan beliau berkempen sebelum penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Kajang 11 Mac depan.

Perkara itu disiasat bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tidak mengemukakan sebarang kenyataan bertulis 10 hari sebelum melakukan berkempen, lapor Berita Harian .

Dalam laporan itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang notis pemberitahuan berhubung kempen yang diadakan dan siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 9(5) akta itu.

Dilaporkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengingatkan Anwar bahawa boleh dikenakan tindakan mengikut akta itu jika berkempen sebelum penamaan calon.

Bagaimanapun, ketua pembangkang itu membidasnya dengan tidak akan melayan “dakwaan tidak berasas” bahawa beliau melanggar undang-undang dengan memancing undi terlalu awal.

Sementara itu, dalam laporan yang sama menyebut, Abdul Aziz membidas Anwar yang mendakwa suruhanjaya itu menjadi alat politik tertentu selepas menegur tindakannya.

Abdul Aziz berkata parti politik sepatutnya mematuhi peraturan yang ditetapkan badan itu dalam berkempen bagi mengelak provokasi.

"Apa yang saya cakap adalah seperti termaktub dalam undang-undang dan semua parti bertanding perlu mematuhinya, tiasa siapa yang terkecuali.

"Saya minta parti politik supaya dapatkan permit polis mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 sekiranya ingin mengadakan perhimpunan atau ceramah," katanya seperti dilapor dalam akhbar itu.

ADS