Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata BFM adalah sebuah stesen radio niaga dan oleh itu, tiada sebab baginya untuk menyiarkan temubual dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tentang politik.

Pengarah Kanan Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Raffie Abd Rahman berkata, suruhanjaya itu menolak permintaan BFM untuk menyiarkan temubual politik dengan Anwar baru-baru ini, kerana lesen BFM menetapkan bahawa stesen itu menyiarkan di kawasan Lembah Klang sebagai institusi radio niaga.

SKMM, katanya, sebagai pengawalselia industri, mesti memastikan pemegang lesen mengikut pelan perniagaan mereka.

Sheikh Raffie menjelaskan bahawa stesen radio dilesenkan mengikut tema berdasarkan genre yang mereka pohon - iaitu berita, halehwal wanita, pelancongan atau perniagaan.

"SKMM bertanggungjawab untuk memastikan bahawa semua pemegang lesen tidak melanggar syarat-syarat lesen mereka berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Rabu lalu, dilaporkan bahawa arahan supaya tidak disiarkan temubual dengan ketua umum PKR itu mengenai pilihan raya kecil Kajang, datangnya dari SKMM.

Menurut sumber, stesen yang masuk ketahun keenam operasinya, dikehendaki mengemukakan laporan mingguan cadangan kandungannya untuk minggu hadapan untuk ditapis oleh SKMM.

"Keperluan ini dilaksanakan sejak pilihan raya negeri Sarawak (pada 2011). Sebelum itu, tidak ada masalah .

"Apabila kita mengemukakan senarai itu minggu lepas, SKMM meminta temubual Anwar dikeluarkan atas sebab-sebab yang diberikan di atas.

"Ini tidak bermakna kita bersetuju dengan apa yang pihak berkuasa kata," kata sumber itu yang tidak mahu disebut namanya.

[Baca berita penuh]

ADS