Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang datang ke Kajang dengan memeriksa harga barang baru-baru ini, dianggapnya sebagai "berkempen".  

"Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri) pun datang, dia (Muhyiddin) datang pantau harga barang, hang ni aku nak tanya Muhyidin hang kerja apa?

"Kerja TPM bukan periksa harga barang. Kawal dasar turun harga barang bukan pergi periksa di kedai.

"Menteri kewangan umum naik 35 sen. TPM datang periksa di kedai nak pastikan jangan naik 35 sen," kata Anwar dalam ceramahnya di Padang Pusat Komuniti Kampung Sungai Kantan malam tadi.

Anwar berkata demikian bagi mengulas Suruhanjaya Pilihan Raya yang hanya melihat beliau sahaja yang berkempen di Kajang sedangkan Muhyiddin dan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai juga didakwanya berbuat demikian.

'Tersasul bab MB'

Dalam ceramahnya juga, Anwar turut 'tersasul' dengan memberi gambaran bahawa akan menjadi menteri besar Selangor jika menang dalam pilihan raya kecil DUN Kajang.

Hal demikian menyebabkan kira-kira 200 hadirin yang hadir ramai yang terkejut bagaimanapun Anwar dengan segera cepat membetulkan kenyataan dan meneruskan ceramahnya.

Ketika itu, Anwar mengulas bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa takut bila mengetahui beliau akan bertanding di DUN itu.

"Bila Anwar mari Kajang, Dr Mahathir tengah tidur, bangun kata hah tak boleh! Tak boleh!

"Dia takut sungguh. Kena tanya sebab apa dia takut. Pada hal MB Selangor sahaja... Padahal (bertanding) Selangor sahaja," katanya memperbetul ayatnya sebelum itu.

ADS