Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dari BN kekal sebagai anggota Parlimen Machang selepas Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak petisyen pilihan raya PKR bagi membatalkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lepas.

    

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menolak petisyen itu yang difailkan calon PKR Wan Zawawi Wan Ismail dan memerintahkannya membayar kos perundangan RM10,000 kepada Ahmad Jazlan selaku responden pertama.

    

Beliau turut memerintahkannya membayar kos perundangan sebanyak RM30,000 masing-masing kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Machang selaku responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden ketiga.

    

Hakim Zamani berkata Ahmad Jazlan telah dipilih secara sewajarnya sebagai anggota Parlimen Machang pada PRU13 itu mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    

Ahmad Jazlan diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun manakala Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad mewakili responden kedua dan ketiga.

BN mengemukakan bantahan awal itu mengikut Seksyen 35(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya pada Disember dan Januari  lepas dengan alasan antaranya petisyen berkenaan telah melebihi had masa enam bulan untuk dibicarakan iaitu selepas PRU13, dan  fakta dalam petisyen itu tidak mencukupi untuk menyokong relief yang diminta pempetisyen untuk membatalkan kemenangan Ahmad Jazlan.

      

Pada PRU13, Ahmad Jazlan yang juga ketua Umno bahagian Machang, menewaskan Wan Zawawi dengan majoriti 805 undi.

    

Pada 16 Julai tahun lepas, mahkamah sama menolak petisyen Wan Zawawi, namun Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya untuk mengetepikan perintah itu.

    

Mahkamah Persekutuan berpendapat Hakim Mahkamah Pilihan Raya tidak sepatutnya membatalkan petisyen itu atas alasan pempetisyen gagal mematuhi peraturan mengikut Kaedah 9 dan Kaedah 34 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

    

-Bernama

ADS