Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rasionalisasi subsidi demi tambah peruntukan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peruntukan bagi sektor pembangunan akan dapat dipertingkatkan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) melalui pelaksanaan rasionalisasi subsidi.

    

Beliau berkata banyak lagi pembangunan perlu dilakukan khususnya dalam bidang pendidikan seperti pembinaan sekolah tambahan dan sekolah vokasional, pembinaan jalan raya di bandar dan luar bandar, loji air dan tebatan banjir

    

"Setiap projek ini bukan kecil, besar kosnya. Jadi perbelanjaan untuk peruntukan pembangunan negara ini mesti kita tambahkan lagi.

    

"Kita (kerajaan) tidak boleh tambah (peruntukan) melalui tambahan hutang kerana ekonomi negara kita akan merudum nanti.

    

"Saya berharap dalam RMK-11 nanti, kita boleh tambahkan peruntukan untuk pembangunan kerana banyak lagi kita perlu lakukan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra di Puttrajaya hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

    

Najib yang juga menteri kewangan berkata kerajaan telah membelanjakan RM22 bilion untuk subsidi minyak manakala RM40 bilion bagi subsidi dan insentif secara keseluruhannya sedangkan hanya RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

    

"Kita lihat ini tidak seimbang sebab apabila kita belanja terlalu banyak untuk subsidi, ini akan berlakunya ketirisan, pembaziran dan ketidakadilan," katanya.

    

Sambil memberikan contoh, Najib berkata dengan mengurangkan subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kerajaan memperuntukkan RM4.6 bilion untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan disalurkan kepada 7.9 juta isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

    

Menyedari kenaikan kos sara hidup, perdana menteri berkata kerajaan sentiasa sensitif dan terus menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan timbalan perdana menteri untuk mengambil langkah-langkah mengurangkan beban rakyat selain turun padang memantau harga.

    

“Dengan pelbagai usaha ini, harga barangan kini bertambah stabil.

    

“Kita memang memberi perhatian kepada masalah rakyat apabila ekonomi bertambah kukuh kita boleh tolong rakyat, termasuk kebajikan penjawat awam,” katanya.

Najib berkata melalui dasar negara yang bersifat inklusif dan mampan, perkembagan ekonomi negara berada pada landasan yang betul untuk mencapai kadar pertumbuhan lebih kukuh apabila mencatatkan nilai perdaganan RM1.3 trilion, yang merupakan tertinggi dalam sejarah, dan nilai

pelaburan RM216 bilion pada tahun lepas.

    

“Kita tidak boleh bertahan setakat ini, tetapi bak kata 'self-improvement' bagi individu dan sebagai sebuah negara kita perlu melakukan penambahbaikan untuk negara supaya kita boleh mencapai kadar pertumbuhan yang  tinggi dan sederhana tinggi.

    

“Banyak negara lain masih bergelut dengan pelbagai masalah dan ekonomi dunia masih tidak menentu. Sehubungan itu, kita mesti membuat persediaan dengan mengambil langkah proaktif agar perkembangan ekonomi negara lebih bertambah tinggi dan Malaysia boleh menjadi sebuah negara maju pada 2020,” katanya.

    

-Bernama

ADS