Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis merakamkan kenyataan Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin pagi ini berhubung twitnya pada 4 Mac lalu yang didakwa menghina pasukan polis.

Peguam Afif, Izad Buqkhary Mohd Kamri berkata dua pegawai dari ibu pejabat polis Bandar perda menghubungi Afif sewaktu beliau berada dipejabatnya pada jam 9 pagi.

"Mereka merakamkan kenyataan dan merampas telefon bimbitnya. Semua proses mengambil masa dua jam," kata Izad kepada Malaysiakini.

"Polis memaklumkan terdapat dua laporan polis terhadap Afif berhubung twitnya. Mereka belum memaklumkan kepada kami, peruntukan undang-undang mana untuk menyiasatnya," kata Izad lagi.

Afif dalam tweetnya menyebut: "Penjenayah bunuh polis itu tidak menghairankan, tetapi bila polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang membunuh tahanan, itu masalah." [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan polis telah mengambil keterangan daripada anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang Dr Afif Bahardin berhubung kenyataannya melalui akaun Twitter miliknya pada 4 Mac lepas yang didakwa menghina pasukan polis.

    

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata pegawai penyiasat kes itu telah merakam keterangan Dr Afif di pejabatnya di Komtar kira-kira 10 pagi tadi.

    

"Selain merakamkan keterangan Dr Afif, polis turut mengambil telefon bimbit milik beliau yang dipercayai digunakan untuk memuat naik status berkenaan bagi menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di Georgetown hari ini.

    

Beliau berkata setakat ini, pihaknya telah menerima tiga laporan polis dan turut merakam keterangan daripada tiga orang berhubung kenyataan Dr Afif  menerusi Twitternya itu.

    

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, katanya.

    

Dr Afif yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri dan anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya dalam tweetnya menyatakan:

"Penjenayah bunuh polis itu tidak menghairankan, tetapi bila polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang membunuh tahanan, itu masalah."

ADS