Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nelayan dakwa lihat pesawat terbang rendah
Diterbitkan:  Mar 10, 2014 12:25 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Seorang nelayan di Kota Bharu mendakwa terlihat sebuah pesawat terbang lebih rendah daripada biasa di Laut China Selatan kira-kira lapan batu nautika dari Kuala Besar, Pantai Cahaya Bulan awal pagi kelmarin.

Azid Ibrahim, 66, berkata dia yang membawa lima kaki pancing ke kawasan itu, melihat pesawat tersebut terbang rendah menghala keluar dari negara ini menuju ke tengah laut kira-kira jam 1.30 pagi, lapor Sinar Harian hari ini.

"Ketika itu hanya saya dan Pak Da (kawannya) sahaja yang melihat kapal terbang itu. Yang lain tidur. Biasalah kami nampak kapal terbang di kawasan ini kerana ia laluan utama, tapi kali ini ia terbang lebih rendah daripada biasa.

"Saya tidak pasti berapa tinggi kapal terbang itu dari muka laut, cuma nampak lampu besar buah kelapa dan dibawah awan. itu saya hairan," kata seperti dilapor akhbar harian itu.

Dia yang sudah 10 tahun membawa kaki pancing ke laut berkata, selepas mengetahui kehilangan pesawat MH370 semalam, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, petang semalam.

"Saya ingin beritahu apa yang saya nampak malam itu. Mana tahu ia boleh bantu (pasukan mencari dan menyelamat)," katanya.

Sementara itu, Berita Harian hari ini melaporkan tiada sebarang perubahan cucaa ketara berhampiran perairan Malaysia yang dilihat boleh mengancam pesawat MH370 pada waktu dilaporkan.

Pegawai Meterologi Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meterologi Malaysia, Khairul Najib Ibrahim memaklumkan keadaan cuaca dari jam 12 tengah malam hingga 3 pagi, berdasarkan imej satelit diperoleh daripada Agensi Meterologi Jepun tidak memberikan ancaman kepada pesawat.

"Walaupun Jabatan Meteorologi sudah mengeluarkan amaran keadaan angin kencang dan laut bergelora semalam (kelmarin), ia hanya bagi kawasan perairan Sabah dan Sarawak tanpa membabitkan kawasan disyaki," katanya seperti dilapor akhbar itu.

ADS