Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin mendakwa dialog antara beliau dengan pemikir kontroversi Kassim Ahmad berhubung isu antihadis diganggu Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Perkara itu dimaklumkannya melalui status akaun Facebook beliau pada 10 Mac lalu.

"Saya pun hairan mengapa KDN cuba mengganggu dialog saya dan Kassim Ahmad di Sinar Harian .

"Apa hubungan KDN dengan antihadis?" tulisnya dalam laman sosial itu.

Dialog tersebut dijadual diadakan di ibu pejabat harian itu di Shah Alam esok.

Sinar Harian ketika dihubungi berkata mereka tidak pernah pun mengumumkan akan menganjurkan dialog itu.

"Kalau hendak buat kita akan maklumkan lebih awal.

"Kalau mahu komen kena telefon doktor Asri kerana (dakwaan) itu terbit di Facebooknya," kata Penasihat eksekutif Editorial Datuk Abdul Jalil Ali.

Bercakap kepada Malaysiakini , Asri berkata beliau hairan dengan kenyataan dan mendakwa maklumat itu datang daripada mulut Jalil sendiri.

"Macam mana beliau (Jalil) kata tidak mahu buat (dialog), pasal beliau sudah hubungi saya tentang dialog itu.

"Beliau (Jalil) juga yang maklumkan pasal KDN itu, dua atau tiga hari lepas kata dialog itu tidak ada kelulusan KDN.

Sementara itu, seorang pegawai agama KDN Zamihan Mat Zain berkata, dakwaan Asri tidak benar sama sekali dan bersifat provokasi.

"KDN tiada kaitan dengan (penganjuran) dialog itu," katanya kepada Malaysiakini.

ADS