Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar malam tadi mempersoal manifesto PKR yang diumumkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kelmarin sempena kempen pilihan raya kecil DUN Kajang.

Noh berkata kandungan dalam manifesto PKR itu antara lain mahu menangani masalah kesesakan lalulintas dan menyediakan kemudahan infrastruktur, adalah "tanggungjawab kerajaan negeri".

Sambil menyifatkan Dr Wan Azizah tidak perlu berbuat demikian, Noh sebaliknya mempertikaikan permasalahan banjir yang sering berlaku di Kajang dan tiada penyelesaian untuk mengatasinya.

"Di Selangor BN adalah pembangkang, manakala Pakatan Rakyat adalah kerajaan... Kita buat manifesto bila tak menjadi kerajaan. Ini kerajaan dah ada.

"(Kandungan) manifesto itu adalah tanggungjawab kerajaan negeri... Tak perlu manifesto. Beliau nak naikkan prasarana di Kajang, tapi di Kajang sudah banyak kali berlaku banjir?" kata Noh.

Sehubungan itu, Noh mendakwa janji yang dibuat oleh PKR dalam manifesto itu, sebagai "menipu rakyat", sedangkan kerajaan pusatlah yang menyediakan pelbagai kemudahan khususnya rakyat di Kajang.

"Ini jelas, tipu rakyat bahawa (beliau) akan buat berbagai-bagai termasuk atasi kesesakan jalan raya

"Projek MRT, siapa buat? Bukankah kerajaan pusat membelanjakan berbilion ringgit (untuk itu)? Ini tidak lain untuk memberi kemudahan kepada rakyat Kajang," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Majlis Mesra Rakyat di Taman Kota Cheras Fasa 1, malan tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama lebih 500 hadirin.

Noh yang pengerusi Umno negeri juga menempelak rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pilihan raya kecil itu, yang menurut Noh, untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti dan membolehkan Anwar menjadi menteri besar.

Bagaimanapun, rancangan Anwar meleset ekoran didapati bersalah dengan kes liwat II sekaligus menuduh BN mempengaruhi keputusan mahkamah dan takut beliau menjadi calon.

"Kita kesal dan memang kita berdoa supaya beliau bertanding di Kajang.

"(Kerana) kita nak tengok sama ada menang atau kalah. Kalau dia menang, kita nak tengok apakah janji jadi menteri besar. Capai matlamat atau tidak.

"(Kerana) kita juga nak tengok PAS sokong Anwar jadi MB.  PAS tak mahu beri sokongan. Tak berlaku. Sebaliknya tuduh konspirasi. Sekarang senjata makan tuan. Pusing 360 darjah, dia kata kita konspirasi," kata Noh.

ADS