Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Majlis Peguam Malaysia menyambut baik langkah kerajaan menangguhkan pelaksanaan hukuman mati seorang warga asing, Osariakhi Ernest Obayangbon, yang dijadual berlangsung pukul 6 pagi semalam.

    

Presidennya, Christopher Leong berkata Majlis Peguam memuji tindakan pantas kerajaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memperoleh perintah penangguhan hukuman mati itu.

    

"Pelaksanaan hukuman mati terhadap seorang penjenayah, meskipun bagi satu jenayah kejam, bukan hanya tentang jenayah yang dilakukan sebaliknya mencerminkan sifat perikemanusiaan kita sendiri," katanya.

    

Osariakhi, pemegang pasport British, disabitkan atas pertuduhan membunuh dan sudah meringkuk selama 18 tahun dalam penjara sementara menunggu hukuman mati.

    

Dia dikatakan menghidap penyakit mental iaitu skizofrenia.

    

Leong berkata meskipun tertuduh dilapor mengalami penyakit mental selepas melakukan jenayah berkenaan, namun untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang pesakit mental yang sudah meringkuk dalam penjara selama 18 tahun adalah satu tindakan yang dirasakan tidak perlu dan tidak berperikemanusiaan.

"Sehubungan itu, kami memohon agar hukuman mati tertuduh diganti dengan hukuman penjara seumur hidup," katanya.

    

Beliau juga berkata hukuman mati tidak mempunyai tempat dalam kalangan masyarakat yang menghargai nyawa manusia, keadilan dan sifat perikemanusiaan.

    

Leong berkata Majlis Peguam tahu kerajaan sedang mengkaji pembaharuan undang-undang berkaitan hukuman mati.

    

"Majlis Peguam mengulangi gesaan agar kerajaan Malaysia segera memansuhkan hukuman mati.

    

"Mereka yang dijatuhi hukuman mati harus diganti dengan hukuman lain," katanya.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS