Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gabungan 55 NGO Melayu Islam yang dikenali sebagai Barisan Perpaduan Nasional (BPN) memperkenalkan bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad sebagai 'tokoh berwibawa' yang sebelum ini disebut-sebut akan memimpin gabungan itu.

Dalam ucapannya selepas hadir pada mesyuarat pertama BPN di ibunegara semalam, Abdul Hamid selaku pengerusinya berkata masanya sudah tiba untuk beliau bersuara sebagai seorang Melayu Islam selepas bersara sebagai seorang ketua hakim.

"Masa saya hakim saya tak pernah buat satu kenyataan apa pun, sekarang saya sudah pencen.

"Saya dilahirkan sebagai seorang Melayu dan Islam, itu takdir Allah Taala. Saya akan mati sebagai Melayu dan Islam, itu juga ketetapan Allah Taala.

"Oleh itu, salahkah jika saya bercakap dan pertahankan hak orang Melayu Islam yang dalam Perlembagaan telah dipersetujui?" katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan wartawan tentang penglibatannya dalam BPN yang mungkin mempengaruhi persepsi orang ramai terhadap institusi kehakiman.

Abdul Hamid bertugas sebagai ketua hakim negara dari 1 November 2007 sehingga 18 oktober 2008.

Abdul Hamid adalah tokoh kedua yang pernah terlibat dengan badan kehakiman dan kini bergerak aktif bersama NGO-NGO Melayu.

Sebelum ini, bekas hakim mahkamah rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah turut tampil ke hadapan dan bercakap tentang hak istimewa orang Melayu.

BPN yang diumumkan penubuhannya pada 28 Februari lalu turut dianggotai antaranya PERKASA, MUAFAKAT, JATI, ISMA, ABIM, PKPIM, GPMS, PEMBELA, Majlis Profesional Melayu Malaysia, Majlis Usahawan Melayu Malaysia, Persatuan Ilmuan Malaysia, PEWARIS dan Jamiah Dakwah Islamiah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS