Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akhirnya, Ghani dapat menatap wajah anaknya
Diterbitkan:  Mar 15, 2014 6:38 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Selepas dua tahun, akhirnya Abdul Ghani Md Yassin, 45, berjaya bercakap dengan anak perempuannya, Siti Nor Shafika, yang hilang sebelum ditemui di Pulau Basilan, selatan Filipina baru-baru ini.

    

Dua hari lepas, hasil usaha pegawai Pejabat Konsul Malaysia di Davao, Mindanao, pekerja swasta di Pasir Gudang itu berkesempatan berbual dengan anaknya menerusi teknologi 'Skype' dari Balai Polis di Pulau Basilan.

    

"Selepas dua tahun menghilangkan diri, saya dapat menatap muka anak saya kembali. Kami berbual dan saya meminta beliau kembali ke pangkuan keluarga.

    

"Beliau bersetuju dan sememangnya mahu pulang ke Malaysia, jika boleh bersama-sama keluarga menyambut Aidilfitri pada tahun ini," katanya kepada Bernama hari ini.

    

Menurut Abdul Ghani, anak perempuannya kini berusia 20 tahun dan perlu mendapatkan pasport antarabangsa terlebih dahulu daripada pejabat konsul Malaysia di Davao.

"Pejabat Konsul Malaysia di Davao akan membantu memproses pasport antarabangsa anak saya bagi membolehkan beliau pulang ke Malaysia dengan segera," katanya.

    

Turut berada bersama-sama Siti Nor Shafika ketika perbualan singkat itu ialah suaminya yang hanya dikenali sebagai 'Tontong'.

    

Sebelum ini, Abdul Ghani mengesyaki Tontong adalah lelaki yang bertanggungjawab melarikan anaknya daripada rumah mereka di Pasir Gudang ke selatan Filipina.

    

"Di dalam perbualan saya dengan Siti Nor Shafika, beliau mengesahkan telah berkahwin dengan Tontong tetapi tetap mahu pulang ke Malaysia, berkemungkinan bersama-sama suaminya," katanya.

    

Abdul Ghani berkata beliau sedia menerima Tontong sebagai menantunya tetapi mahu pasangan itu tinggal di Malaysia.

    

Siti Nor Shafika dilapor hilang daripada rumahnya di Pasir Gudang dua tahun lepasn dan ketika itu, beliau sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berikutan kehilangan anaknya itu, Abdul Ghani membuat beberapa laporan polis.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS