Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jerebu: 202 sekolah dibuka semula esok
Diterbitkan:  Mar 16, 2014 5:42 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Kesemua 202 buah sekolah yang ditutup akibat jerebu sejak Jumaat lepas diarah dibuka semula seperti biasa esok, kata Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan.

Katanya, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terkini adalah selamat dan semua aktiviti sekolah boleh berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun pengetua dan guru besar di seluruh negara diminta mematuhi pekeliling mengenai jerebu yang dikeluarkan kementeriannya awal bulan ini.

"Jangan tunggu hingga indeks IPU mencecah 200. Malahan arahan telah dikeluarkan kepada semua sekolah, sebaik saja IPU mencecah 100, bagi kanak-kanak dengan penyakit dan masalah bernafas, guru-guru diminta jangan libatkan mereka dengan aktiviti luar. 

"Sebaik saja ia (IPU) mencecah 150, arahan ialah memberitahu sekolah bahawa tidak ada aktiviti luar (dibenarkan) bagi semua orang," katanya ketika ditemui media di majlis Marathon Tarian  anjuran Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan, sempena Hari Buah Pinggang Sedunia, di Petaling Jaya hari ini.

   

Kementerian Pendidikan sebelum ini mengarahkan semua sekolah ditutup jika bacaan IPU melebihi 200 iaitu bacaan sangat tidak sihat.

Minggu lalu, Jabatan Pelajaran Selangor mengarahkan semua 131 sekolah di daerah Klang dan 71 sekolah di daerah Kuala Langat ditutup serta-merta pada Jumaat ekoran bacaan IPU sangat tidak sihat di dua daerah itu.

Kamalanathan juga mengarahkan pihak sekolah sentiasa peka dengan kualiti udara di kawasan masing-masing.

Walaupun bacaan IPU dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mungkin menunjukkan bacaan kategori sihat di laman sesawangnya namun di kawasan mereka ia mungkin tidak sihat, kata beliau. 

- Bernama

ADS