Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid: Saya masih relevan
Diterbitkan:  Mar 17, 2014 1:00 PM
Dikemaskini: 5:08 AM

Tan Sri Khalid Ibrahim menjelaskan kepimpinan beliau sebagai Menteri Besar Selangor masih relevan dan wajar diteruskan.

Bahkan beliau dilapor tidak akan tunduk pada sebarang desakan untuk memastikan beliau meletakkan jawatan tersebut selagi beliau kekal pilihan rakyat.

"Saya tidak tipu rakyat Selangor, saya buat kerja kerana Allah, rakyat boleh tengok wajah saya ketika bersalam.

“Saya mohon teruskanlah bersama PR dalam PRK Dun Kajang nanti," beliau dipetik sebagai berkata dalam ceramah sempena Karnival Usahawan Selangor di Bandar Kajang, laporan Sinar Harian .

Sebelum ini terdapat spekulasi yang menyatakan akar umbi tidak berpuas hati dengan pentadbiran Khalid yang didakwa membelakangkan parti.

Ia seterusnya dilihat membawa kepada pencalonan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding kerusi Kajang, sekali gus diura-urakan akan menggantikan Khalid.

Anwar bagaimanapun tidak dapat bertanding ekoran keputusan mahkamah dan memberi laluan kepada Wan Azizah.

'Pandanglah mata saya'

Sementara itu, berdasarkan rekod pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri itu, beliau menyeru pengundi Kajang menyokong calon PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

"Kalau saya ada masa bersalaman dengan anda. Pandanglah wajah saya. Malalui pandangan itu saya nyatakan kepada rakyat saya buat kerja kerana Allah.

"Lihat sendiri kejayaan Selangor, kita buktikan melalui angka bukan cakap kosong.

"Pada 2007, rizab simpanan kerajaan negeri hanya berjumlah RM500 juta tapi selepas saya menerajui Selangor saya berjaya mengumpul sebanyak RM 3,000 juta. Alhamdulillah, ini semua rezeki rakyat Selangor," katanya.

ADS