Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Penganjur konsert FMFA boleh dikena tindakan'

Penganjur Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 harus dikenakan tindakan tegas sekiranya terbukti mereka gagal mencegah penyalahgunaan dadah dan alkohol sewaktu berlangsung persembahan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur Sabtu lepas, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, polis dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang melakukan siasatan menyeluruh mengenai insiden itu yang meragut enam nyawa warga tempatan, tiga daripadanya wanita, berusia antara 19 hingga 28 tahun.

    

"Kita serahkan kepada polis untuk ambil tindakan, bersama-sama dengan PBT dan pihak stadium yang telah menyewakan premis berkenaan kepada penganjur," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan di Kajang semalam.

    

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata polis telah mengenalpasti 38 makmal utama dadah di negara ini di mana sembilan daripadanya telah pun diserbu dan peralatannya dimusnahkan.

    

"Saya tidak mahu beritahu negeri mana dan lokasi mana tetapi tindakan yang dilakukan Sting (Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik) sudah mengambil kira dari negara mana mereka yang telah mengusahakan makmal ini," katanya.

- Bernama

ADS