Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Media asing mahu tonjol kelemahan M'sia'
Diterbitkan:  Mar 23, 2014 12:46 PM
Dikemaskini: 6:43 AM

Satu tinjauan yang dijalankan oleh akhbar Berita Harian menumpukan kepada laporan media antarabangsa berhubung kelemahan Malaysia dalam menyelia operasi kes kehilangan pesawat MH370.

Tinjauan itu menonjolkan pandangan beberapa individu yang antara lainnya berpendapat bahawa media antarabangsa itu “berniat jahat” dan memandang rendah usaha Malaysia untuk menyalurkan maklumat berhubung kes berkenaan.

Salah satu daripada sumber itu ialah seorang penjawat awam, Zawawi Amin, 49 yang mempersoalkan soalan didakwa provokatif oleh petugas media berkenaan semasa sidang media oleh pihak berkuasa Malaysia.

"Mereka memandang rendah usaha kita yang menyampaikan maklumat melalui saluran yang betul.

"Sebaliknya mereka hanya tahu memuaskan kehendak sendiri atau syarikat bagi mendapat keuntungan mudah tanpa memikirkan etika kewartawanan," katanya seperti dipetik dalam laporan Berita Harian hari ini.

Ia turut memuatkan pandangan seorang kakitangan swasta, P Pheroshen, 24, yang berpendapat bahawa media sepatutnya memberikan sokongan moral dan menjaga perasaan keluarga penumpang dan anak kapal itu.

Katanya, media tidak seharusnya membuat laporan negatif sehingga boleh menimbulkan kebimbangan.

Menurut seorang suri rumah Che Rosnita Che Wail, 30 pula, media berkenaan seharusnya faham kerana maklum misi pencarian pesawat Air France juga memakan masa panjang pada tahun 2009.

"Mereka (wartawan media antarabangsa) pasti tahu sejarah misi pencarian air France yang mengambil masa amat lama, tetapi meraka seolah-olah dengki dengan penyatuan rakyat Malaysia yang kuat terbina ketika ini," katanya.

Selain mempersoalkan kewibawaan Malaysia dalam mengetuai operasi mencari dan menyelamat, laporan media antarabangsa juga sering membangkitkan mengenai maklumat bercanggah dalam sidang media pihak berkuasa malaysia dalam isu MH370.

ADS