Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dakwaan dan kritikan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa kononnya kehidupan Orang Utan di Sarawak terancam berikutan pembukaan ladang kelapa sawit dan aktiviti pembalakan adalah tidak betul.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan semasa menyangkal dakwaan itu berkata kawasan didiami spesies Orang Utan di Sarawak diwartakan sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA).

Beliau berkata dua kawasan yang mempunyai habitat semula jadi untuk Orang Utan telah diwartakan sebagai kawasan TPA iaitu Batang Ai di Sri Aman dan Sebuyau.

"Di TPA, segala aktiviti pertanian dan pembalakan tidak dibenarkan dan dikawal sepenuhnya. Malah kita telah pun menambah keluasan kawasan untuk Orang Utan di Sarawak dan diletak di bawah TPA.

"Oleh itu kritikan-kritikan ke atas Sarawak yang mendakwa kehidupan Orang Utan terancam adalah hanya berasaskan kepada andaian semata-mata," katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena sambutan Hari Perhutanan Antarabangsa peringkat negeri dan Hari Tanjung Manis di Sibu malam tadi.

Awang Tengah berkata di bawah dasar penggunaan tanah Sarawak, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah satu juta hektar kawasan untuk TPA termasuk taman negara dan enam juta hektar lagi bagi kawasan hutan kekal.

"Kesemuanya berjumlah tujuh juta hektar tanah diperuntukkan bagi tujuan perhutanan iaitu hampir 60 peratus daripada 12.4 juta hektar keluasan Sarawak",katanya.

Keupayaan dan kemahiran Sarawak mengurus hutan dengan baik terbukti apabila jumlah perwartaan kawasan untuk TPA ditambah di samping mewujudkan kawasan-kawasan rizab yang lain seperti PFE dan santuari hidupan liar.

Beliau berkata semua langkah itu bertujuan mengekalkan dan memelihara hutan di negeri ini.

"Maka oleh itu Sarawak bebas daripada mengalami masalah bencana alam disebabkan penerokaan hutan berlebihan," katanya.

- Bernama

ADS