Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear (NSS) 2014 selama dua hari di The Haque bermula Isnin.

Kira-kira 53 pemimpin dunia akan berhimpun pada forum dunia itu di The Hague untuk merumuskan perjanjian spesifik bagi mencegah keganasan nuklear.

NSS pada tahun ini mempunyai tiga tema iaitu berusaha mencegah keganasan nuklear dengan mengurangkan amaun bahan bahaya nuklear di dunia, menambah baik tahap keselamatan semua bahan nuklear dan sumber radioaktif, dan meningkatkan kerjasama antarabangsa.

NSS 2104 adalah sidang kemuncak ketiga. Pertamanya diadakan di Washington pada 2010, dan dihadiri Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebanyak 47 negara mengambil bahagian pada masa itu.

NSS kali kedua diadakan di Seoul pada 2012. Sebanyak 53 negara dan empat organisasi antarabangsa dijemput ke forum itu.

Sidang kemuncak pertama menumpukan kepada perumusan perjanjian politik manakala persidangan susulan di Seoul fokus kepada perkembangan berkaitan pelaksanaan perjanjian berkenaan. NSS kali ini akan bertumpu kepada hasil dicapai dan masa depan.

Duta Besar Malaysia di Belanda Datuk Dr Fauziah Mohd Taib, bercakap kepada wartawan Malaysia sebelum sidang kemuncak itu berkata, Muhyiddin akan mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri majlis perasmian dan penutup sidang kemuncak itu.

Beliau juga akan menghadiri majlis makan malam dihoskan Raja Belanda Raja Willem-Alexander, dan mengadakan pertemuan dua hala dengan Permaisuri Maxima atas kapasiti baginda selaku Wakil Khas Setiausaha Agung PBB bagi Kewangan Inklusif Untuk Pembangunan.

Fauziah berkata Permaisuri telah meminta untuk bertemu dengan Muhyiddin, yang menurutnya merupakan satu penghormatan bagi Malaysia.

"Ini mengenai kredit mikro; bagaimana untuk membantu penduduk luar bandar memulakan perniagaan, bagaimana untuk membantu petani miskin memulakan perniagaan. Baginda faham Malaysia sedang cuba menjadi hab kredit mikro. Saya fikir baginda mahu mendengar daripada kita mengenainya,” katanya.

- Bernama

ADS