Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siswa gesa konsert Life In Colour batal terus
Diterbitkan:  Mar 23, 2014 8:23 PM
Dikemaskini: 12:25 PM

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik pembatalan Konsert Life In Colour yang dijadualkan pada 19 April di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor.

Setiausaha Agungnya, Khairul Anuar Abdul Manap berkata, pembatalan konsert oleh pihak penganjur itu merupakan satu usaha yang baik untuk menghormati sensitiviti rakyat yang sedang berduka ekoran kehilangan pesawat Malaysia Airline (MAS) MH370.

Katanya, pembatalan itu juga mungkin bagi mengelakkan dari berulangnya tragedi di Stadium Bukit Jalil pada 15 Mac lepas apabila enam remaja maut selepas dipercayai mengambil dadah dan alkohol berlebihan semasa berlangsungnya Konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014.

"Diharapkan pembatalan konsert seumpama ini yang telah dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negara akan dibatalkan terus dan tidak langsung diadakan pada tahun-tahun yang akan datang," kata Khairul kepada Bernama .

Katanya, golongan mahasiswa berpendapat konsert seumpama ini tidak langsung mempromosi budaya dan adat ketimuran malah telah mencemarkan nama Malaysia apabila budaya kebaratan yang tidak sihat dibawa masuk.

"Seharusnya kita lebih kreatif dalam mempromosi kebudayaan dan pelancongan negara ke arena antarabangsa," katanya.

- Bernama

ADS