Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MH370 Sidang akhbar MAS yang pada asalnya dijadualkan pada jam 6 petang ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) telah dibatalkan.

Sidang akhbar tersebut amat ditunggu-tunggu ekoran dakwaan berlaku sabotaj di bengkel avionik MAS di Subang, dan selepas agensi jualan tiket China dilaporkan memulaukan syarikat penerbangan Malaysia itu.

Ia dijangka bermula di tempat yang sama sejurus selepas selesai sidang akhbar harian kerajaan mengenai maklumat terkini usaha mencari pesawat MH370.

Bagaimanapun, di akhir sidang akhbar harian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya beredar bersama dengan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Apabila ditanya pemberita, pegawai akhbar Jabatan Penerangan yang mengendalikan pusat media, terpaksa menghubungi wakil MAS, dan kemudian memaklumkan bahawa tidak ada sidang akhbar MAS untuk hari ini.

Notis mengumumkan sidang akhbar itu di papan kenyataan pusat media, diturunkan pada kira-kira jam 6.25 petang.

Awal hari ini, akhbar South China Morning Post melaporkan beberapa agensi jualan tiket di talian terkemuka China, berhenti menawarkan penerbangan MAS sebagai pilihan, dengan menegaskan mereka akan memulau MAS sehinggalah ia mengetahui apa yang sebenarnya berlaku berhubung kehilangan pesawat MH370.

Ini adalah tindakan balas terbaru China terhadap Malaysia berikutan dakwaan krisis itu gagal ditangani dengan baik serta kenyataan yang bercanggah yang membawa kepada timbulkan dakwaan "maklumat disembunyikan".

Dalam satu kejadian berasingan Rabu lalu, kebakaran kecil berlaku di bengkel avionik MAS, yang membawa kepada bekas MP Wangsa Maju, Wee Choo Keong membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan berlaku sabotaj.

Wee bertanya apakah dokumen atau harta yang telah musnah dalam kebakaran misteri itu dan apakah ia satu perbuatan sabotaj.

Beliau menuntut Ketua Pegawai Eksekutif MAS Aerospace Engineering, Azhari Dhalan menjelaskan mengenai kebakaran tersebut.

Avionics - pendekan untuk 'aviation electronics' adalah istilah untuk peralatan elektronik berkaitan dengan penerbangan, seperti kotak hitam, transponder, peralatan penerbangan dan radio.

 

[Baca berita penuh]

ADS