Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (Acccim) yakin Malaysia sudah melakukan yang terbaik dalam memberikan maklumat terkini kepada orang ramai berhubung kes pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, yang hilang pada 8 Mac.

    

Presidennya, Datuk Lim Kok Cheong berkata kerajaan tidak boleh mengumumkan apa-apa berita yang belum disahkan kerana perlu mengambil langkah berhemat, sikap bertanggungjawab dan menghormati keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu.

    

"Justeru, kita tidak boleh menganggap Malaysia mempunyai niat untuk bersubahat atau menyembunyikan apa-apa berita tertentu yang mungkin tidak memihak kepada kita.

    

"Kenyataan Perdana Menteri Datuk Najib Tun Abdul Razak pada 24 Mac lepas menunjukkan komitmen kerajaan terhadap keluarga penumpang dan anak kapal yang hilang itu. Beliau berjanji akan mendedahkan semua maklumat secara telus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian.

    

Isnin lepas, perdana menteri mengumumkan bahawa penerbangan pesawar itu "berakhir di selatan Lautan Hindi".

- Bernama

ADS