Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki Afrika maut jatuh pangsapuri
Diterbitkan:  Mar 29, 2014 10:26 AM
Dikemaskini: 2:46 AM

Seorang lelaki warga Afrika maut apabila terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Flora Damansara ketika cuba melarikan diri daripada ditangkap polis.

    

Ketua Polis Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed, ketika mengesahkan perkara itu, berkata polis ke pangsapuri berkenaan setelah menerima aduan daripada orang awam berkaitan bunyi bising di tingkat enam.

    

"Anggota polis telah pergi ke tingkat itu dan mendapati pintu rumah yang didiami tiga lelaki warga Afrika terbuka tetapi pintu jerijinya berkunci menyebabkan polis gagal masuk ke dalam rumah itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

    

Beliau berkata menyedari kehadiran polis, ketiga-tiga lelaki cuba melarikan diri melalui tingkap belakang dan seorang daripada mereka terjatuh manakala dua lagi berjaya meloloskan diri.

    

Katanya, siasatan dalam unit pangsapuri itu menemui dua kad pelajar dan satu pasport dipercayai milik ketiga-tiga individu berkenaan.

    

"Butiran si mati masih belum dikenal pasti dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya.

    

Arjunaidi berkata polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan akan terus memburu dua lagi lelaki yang berjaya melepaskan diri.

    

Seorang jiran, Mohamad Fikri Ramelin, 23, berkata ketika kejadian, tiga anggota polis meminta bantuan beliau untuk meninjau dari beranda rumahnya situasi di rumah warga Afrika itu.

    

"Bila saya tinjau sendiri dari arah beranda, saya terperanjat apabila mendapati seorang lelaki telah terlentang dengan keadaan berlumuran darah berdekatan sebuah kereta.

    

"Dua lagi lelaki cuba melarikan diri dengan turun dari satu tingkat ke satu tingkat dengan bergayut pada jeriji tingkap dan terjun dari tingkat tiga ke atas tanah," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    

Katanya, kedua-kedua lelaki dilihat melarikan diri ke arah berlainan melalui hutan kecil di belakang pangsapuri itu.

    

- Bernama

ADS