Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebaik tiba di balai polis di Johor Baru pada Oktober 2009, Saphiah Mohd Elah melihat satu motosikal yang berlumuran darah milik anaknya, Mohd Afham Afrin.

"Polis membuat saya menunggu berjam-jam (di stesen). Saya melihat motosikal anak saya di luar stesen. Ia berlumuran dengan darah. Saya tanya (polis) 'Adakah Afham hidup atau sudah mati?' Mereka berkata dia OK. Mereka berbohong."

Keterangannya itu muncul dalam laporan bertajuk 'No Answer, No Apology: Police Abuses and Accountability in Malaysia' pada halaman 102.

Laporan itu dikeluarkan pagi ini di Kuala Lumpur oleh badan pemantau hak asasi Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat.

Beberapa jam sebelum itu, pada malam 19 Oktober, Afham, 20 dan rakannya Mohd Firdaus Masani ditembak oleh anggota polis berpakaian seragam.

Laporan HRW itu juga memetik Firdaus sebagai berkata, mereka dihalang oleh sekumpulan lelaki yang tidak memperkenalkan diri mereka sebagai polis.

Oleh kerana takut dirompak, Afham yang menunggang motosikal, memecut motosikal lalu ditembak. Firdaus berkata dia jatuh dari motosikal dan berlari ke dalam hutan.

Tiga jam kemudian beliau berjaya pulang ke rumah, dan kemudiannya membuat laporan polis apabila membaca laporan media yang memetik kenyataan polis, bahawa Firdaus dan rakannya merupakan dua peragut bersenjatakan parang dan pedang.

Firdaus tidak didakwa atas apa-apa kesalahan dan saman oleh keluarga Afham terhadap polis juga masih belum selesai di mahkamah.

Laporan itu menggariskan keterangan berhubung dakwaan penyeksaan dan salahlaku polis yang digambarkan sebagai ganas dan menyeramkan.

Ia antara lainnya melibatkan kes pembunuhan sewenang-wenang oleh pegawai kerajaan, ancaman kepada peugam dan juga serangan ke atas wartawan yang membuat liputan ketika demonstrasi.

Keterangan polis

Selain memperolehi maklumat daripada mangsa dan keluarga mereka, badan itu turut menemubual 75 individu termasuk pegawai polis dan wakil badan pengawasan.

“Walaupun tembakan polis kadangkala berkemungkinan mengikut undang-undang, insiden tembakan polis yang dilaporkan menunjukkan satu persamaan di mana polis menjelaskan tindakan melepaskan tembakan dengan menegaskan suspek mempunyai parang... atau mereka telah gagal menahan suspek ketika sekatan jalan raya  atau selepas mengejar kereta suspek.

"Dalam beberapa kes, pihak polis juga cuba untuk menjelaskan penggunaan kekerasan dengan mendakwa bahawa suspek adalah penjenayah dalam siasatan polis.

"Apa yang tiada dalam kenyataan polis ialah usaha untuk menunjukkan bahawa kekerasan yang membawa maut adalah satu-satunya pilihan untuk menyelamatkan nyawa berdasarkan risiko yang tidak boleh dielakkan,” laporan itu dipetik.

[Baca berita penuh]

ADS