Duta China ke Malaysia Huan Huikang berkata kerajaannya tidak memendam kekecewaan ke atas tindakan Malaysia dalam menangani krisis MH370.
Bercakap dalam satu sidang media hari ini, beliau menyalahkan media Barat kerana membangkitkan sentimen waris penumpang warga China.
“Sesetengah media Barat memainkan peranan yang mengaibkan. Mereka menerbitkan berita palsu, menjadi batu api, dan turut menyebar khabar angin.
“Ini boleh menganggu semangat anggota keluarga dan merosakkan hubungan baik antara China dan Malaysia. Kita menentang keras perkara ini.”
Duta berkenaan turut menyelar pengguna Internet dan selebirit China yang mengutuk Malaysia berhubung kehilangan pesawat tersebut.
Anggota keluarga dari China yang berang dengan tindakan Malaysia menuduh negara ini “membunuh” para penumpang berkenaan dan menyembunyikan maklumat mengenai pesawat tersebut.
Kerajaan Malaysia berulang kali menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa bertindak dengan telus.
