Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Wira Hamza Taib berkata, polis mempunyai sebab kukuh untuk mempercayai kejadian penculikan di Singamata Reef Resort, Semporna semalam didalangi pihak dalam yang mahir akan selok-belok pusat peranginan tersebut.

“Di sekeliling pusat peranginan tersebut mempunyai suatu sistem halangan di mana tali rentangan dan sebagainya diletakkan agar bot-bot tidak mudah masuk.

“Tetapi hanya orang yang benar-benar mahir sahaja yang tahu, yang boleh masuk dengan mengikuti alur-alur tersebut. Dan enjin bot tersebut tidak akan tersangkut pada tali-tali tersebut,” katanya dalam satu sidang media di ibupejabat Kontinjen polis Sabah, Kepayan petang tadi.

Katanya, beliau telah mengarahkan beberapa serbuan dibuat dan "kita juga mempunyai beberapa keterangan yang boleh kita percayai boleh membantu kita.”

Mengenai tahap keselamatan yang dijalankan di sekitar perairan Semporna selama ini Hamza berkata, mereka telahpun melakukan yang terbaik.

Katanya, pihak polis dan pasukan keselamatan yang lain hampir setiap malam melakukan rondaan di kawasan tersebut.

Ketika ditanya bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku di sebalik kekerapan rondaan tersebut, Hamza (kanan) berkata, para penculik, selain mahir dengan sistem tali rentangan tersebut, mereka turut kelihatan masak mengenai masa rondaan pihak keselamatan.

“Seperti yang saya katakan tadi, kejadian ini dilakukan oleh orang dalam. Mereka tahu bila masanya rondaan dibuat. Sebelum kejadian tersebut, pihak keselamatan ada melakukan rondaan. Penculikan hanya berlaku selepas mereka beredar dari situ,” katanya kepada Malaysiakini selepas sidang media itu.

Buat masa ini, katanya, tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut. Tetapi polis Sabah yakin mereka mempunyai petunjuk yang boleh membantu mereka.

Tiada tangkapan dibuat setakat ini tetapi Jabatan Siasatan Jenaya (JSJ) telah diarahkan untuk membuat tangkapan, kata Hamza.

Menurutnya lagi, polis percaya dan menganggap suspek adalah dari golongan KFR (Kidnapping For Ransom). Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tuntutan yang dibuat setakat ini.

Lazimnya mengikut sejarah penculikan di Sabah, para penjenayah akan melakukan penculikan sebelum menyerahkan mangsa kepada kepada kumpulan yang boleh mendapatkan habuan lebih.

“Kebiasaannya mangsa culik akan diserahkan kepada kumpulan pecahan Abu Sayaff. Tetapi kita yakin kita telah mengenal pasti kumpulan penculik ini. Tetapi bukan satu kumpulan, mungkin ada dua, tiga kumpulan. Tetapi tak lari daripada yang disyaki,” katanya optimis.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, tujuh orang yang menaiki bot mendarat di Singamata Reef Resort dan melakukan penculikan.

Tiga daripada mereka naik ke darat dengan memakai topeng serta bersenjata dan menculik seorang wanita berusia 40 tahun warganegara Filipin Marcy Dayawan@Mimi yang bekerja di pusat peranginan tersebut.

Turut diculik adalah seorang wanita warganegara China Gao Hua Yun dari Shanghai yang berusia lingkungan 20-an.

Kenyataan bahawa penculik tersebut tersebut menuju ke asrama pekerja dengan bertopeng lalu menculik wanita Filipina tersebut memperlihatkan kemahiran mereka akan selok-belok tempat tersebut.

Ini turut menguatkan lagi syak pihak polis bahawa orang dalam turut terlibat dalam insiden tersebut.

Hasil siasatan awal polis mendapati wanita Filipina itu telah bekerja di pekan Semporna sebelum dipindahkan ke Resort tersebut yang terletak dalam jarak dua batu nautika dari pekan itu.

Menurut Hamza lagi, polis akan menyiasat secara mendalam kejadian tersebut termasuklah kaitan wanita Filipina itu dengan kumpulan penculik.

Mengenai wanita China yang diculik itu, Hamza berkata, mereka percaya dia berada di tempat yang salah pada masa yang salah kerana dia kebetulan berdiri di verandah bilik ketika penculik melalui tempat itu semasa melarikan wanita Filipina tersebut.

“Penculik ternampak wanita China itu lalu turut menangkapnya. Kami percaya dia adalah mangsa penculikan rambang dan dijadikan ‘shield’,” kata Hamza sambil menambah wanita itu adalah seorang pelajar Universiti di China yang datang ke Semporna untuk mengambil lesen menyelam.

Ketika kejadian, terdapat kira-kira 61 pelancong di pusat peranginan tersebut dan 59 daripadanya warganegara China, seorang warganegara Malaysia dan seorang warganegara Iran.

Namun selepas kejadian, ada di antara mereka memutuskan untuk terus berada di pusat peranginan tersebut selepas keterangan mereka diambil. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Mengenai dua dua mangsa culik itu, polis dengan maklumat yang mereka perolehi percaya mereka masih berada dalam keadaan selamat dan berada di luar Sabah.

Kejadian penculikan ini merupakan insiden yang kedua berlaku di Semporna dalam tempoh lima bulan.

Pada November tahun lepas, seorang pelancong Taiwan ditemui mati ditembak dan isterinya diculik oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di Pulau Pom Pom, Semporna.

ADS