Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan menjelaskan daripada 30 syarikat konsesi lebuh raya di negara ini, hanya lima sahaja yang mencapai keuntungan susulan pengguna trafik yang banyak.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof (BN-Petrajaya) berkata bakinya masih belum mencapai keuntungan memandangkan jumlah pengguna "masih belum mencukupi.

Bagaimanapun, beliau tidak menyenaraikan nama dan jumlah keuntungan yang diperoleh oleh lebuh raya itu.

"Daripada keseluruhan 30 syarikat konsesi. Daripada jumlah itu, hanya lima sahaja yang mencapai keuntungan kerana pengguna trafik.

“Yang selebihnya masih tidak dapat keuntungan sebab kadar pengguna lebuh raya masih belum mencukupi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) mengenai tanggapan umum bahawa kadar tol perlu dikurangkan jika trafik di lebuh raya terlibat bertambah.

Sementara itu, Fadillah juga berkata, dalam penambahbaikan baru kerajaan, kos penambahan lorong di lebuh raya kini ditanggung syarikat konsesi.

Beliau memberikan contoh apa yang dilakukan Lebuh Raya PLUS di Damansara, Seremban dan Senawang.

“Mereka (syarikat konsesi) kena melabur memastikan keselesaan pengguna.

"Kalau laluan tak dapat menampung keperluan trafik, mereka perlu tambah (lorong)," kata Fadillah.

Ditanya mengenai sampai bila perjanjian konsesi 30 syarikat itu boleh ditamatkan dan pampasan yang diberikan kepada mereka, Fadillah berkata tempoh konsesi berbeza antara satu syarikat dengan yang lain.

Katanya, ia bergantung kepada jumlah pelaburan membina lebuh raya dan rundingan kadar pinjaman yang diperoleh daripada syarikat dan pemegang bon.

Fadillah berkata terdapat perjanjian konsesi lebuh raya "tiga generasi" yang terlibat yang merangkumi tempoh 23 hingga 33 tahun, 30 hingga 35 tahun dan 45 hingga 60 tahun.

"Tapi untuk perjanjian (ketiga) ini, kita dah perkenalkan exit clause, (melibatkan) laluan trafik (lebuh raya) itu.

"(Jika) kutipan sudah memenuhi jumlah pelaburan mereka untuk membuat lebuh raya, maka kita boleh tamatkan perjanjian itu dengan tempoh lebih awal, bukan tunggu sehingga tamat tempoh perjanjian," katanya.

Menurutnya lagi, Lembaga Lebuh Raya Malaysia akan mengkaji laluan trafik bagi lebuh raya yang terlibat.

ADS