Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pakatan Rakyat meluahkan kebimbangan wujudnya kesan negatif terhadap alam sekitar dan sektor pelancongan di Teluk Kalong, Kemaman Terengganu dan kawasan sekitar jika sebuah kilang keluli dibenarkan beroperasi di situ.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah ( sebelah ) membangkitkan kemungkinan berlakunya pencemaran alam sekitar ekoran bijih besi yang diproses didakwa mengandungi kandungan sulfur yang tinggi .

Sedangkan, katanya lagi, negara Australia dan Brazil tidak membenarkan sebuah syarikat di China membakar bijih besi di negara mereka sebaliknya mengarahkan ia dibawa pulang ke negara mereka.

Menurutnya, kedudukan kilang itu berada antara 1.5 hingga 2 kilometer daripada pesisiran pantai di Terengganu dan berdekatan dengan Sungai Chukai.

"Kami amat bimbang tentang kesan negatif pada alam sekitar yang akan menjejaskan kesihatan rakyat dan industri pelancongan yang merupakan sustainable industri.

"Sementara industri berat besi merupakan unsustainable industry tanpa maklumat-maklumat terperinci dikemukakan," katanya dalam sidang medianya di lobi parlimen.

Menteri: Syarat kelulusan dipatuhi

Beliau membangkitkan perkara itu kerana tidak berpuas hati dengan jawapan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel ( bawah ) yang terlalu ringkas menjawab sama ada syarat Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) diluluskan untuk kilang itu.

Jawapan menteri menjelaskan kilang itu akan mengeluarkan besi sebanyak lima juta tan metrik setahun dan sedang dalam pembinaan dan dijangka beroperasi 2015.

"Laporan Detailed Environmental Impact Assesment terperinci dalam projek ini telah diterima pada 4 November 2009 dan telah diluluskan pada 27 Januari 2010 dengan syarat kelulusan yang perlu dipatuhi," jawapan itu dipetik.

Turut hadir dalam sidang media itu, ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang menyokong rakan sejawatnya.

Beliau sekali gus berkata, jika kesan negatif itu berlaku, ia akan menjejaskan kesihatan penduduk di sekeliling termasuk masalah pernafasan dan kulit.

"Ini tidak boleh dibiarkan berlaku di Malaysia," katanya yang sering menjuarai isu alam sekitar termasuk Lynas.

ADS