Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Polis rampas iPad, telefon kerana 'hasutan'
Diterbitkan:  Apr 15, 2014 11:15 AM
Dikemaskini: 5:54 AM

MP Batu Tian Chua mendakwa polis merampas iPad dan telefon mudah alih miliknya, didakwa berhubung tulisan itu di Twitter yang didakwa “menghasut”.

Telefon bimbit itu dirampas malam tadi manakala iPad itu dirampas sebelum ini.

Chua mendakwa sepasukan polis berpakaian preman bertindak demikian pada kira-kira jam 7.30 semasa beliau sedang menyertai satu mesyuarat di Hotel Armada di Petaling Jaya.

"Pasukan serbuan polis mengepung Hotel Armada seolah-olah mereka mahu menangkap penjenayah besar dan mereka memalukan saya di khalayak umum di hadapan tetamu saya.

“Kawan-kawan, saya kini tidak boleh dihubungi... Celakalah negara polis!,” katanya di Twitter.

Naib presiden PKR itu berkata, pasukan polis berkenaan membawa waran geledah.

Sementara itu, satu laporan Bernama yang memetik kenyataan polis mengesahkan bahawa pasukan itu menyita telefon milik Chua.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa ketika dalam laporan tersebut juga mengesahkan bahawa tindakan itu untuk membantu polis menyiasat kes di bawah Akta Hasutan 1948.

Chua dalam tulisannya di Twitter pada bulan lalu menyebut bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan digulingkan dalam tempoh lima bulan.

Kenyataannya itu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menyabitkan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan Liwat II.

Beberapa jam sebelum polis merampas alat elektronik berkenaan, Chua menulis mengenai Black 14, yang merujuk kepada tarikh 14 April 1999 apabila Anwar disabitkan kesalahan untuk kali pertama atas tuduhan rasuah.

Beberapa hari sebelum perhimpunan untuk memperingati Black 14, pejabat Chua digeledah dan beliau seterusnya ditahan mengikut ISA.

[Baca berita penuh]

ADS