Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR (JPP) Datuk Johari Abdul berkata dua calon timbalan presiden Azmin Ali dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan masing-masing.

Johari berkata jawatankuasa tersebut akan melihat kenyataan Saifuddin yang menimbulkan dakwaan mengenai persengketaan antara Azmin dan seorang lagi calon timbalan presiden, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Saifuddin dalam satu wawancara yang disiarkan akhbar New Straits Times pada 12 April mendakwa anggota parti kini muak dengan persengketaan tersebut.

JPP juga merujuk kepada kenyataan Azmin dalam satu laporan stesen TV3, yang menafikan dakwaan Saifuddin bahawa PKR adalah parti berasaskan Melayu, kata Johari.

Johari berkata, JPP akan bersidang dan mengeluarkan keputusan mereka sebelum 21 April depan.

"Saya perlu bawa ke jawatankuasa penuh dan kita akan berbincang mengenai perkara ini. Bukan keputusan saya seorang," kata beliau di sidang media di pejabat PKR hari ini.

Johari berkata setakat ini kurang sepuluh aduan diterima JPP berkaitan pemilihan dan semuanya isu kecil.

Beliau berkata kebanyakan aduan adalah daripada khabar angin dan ada juga yang tidak dapat dipastikan pengadunya kerana tidak memberi sebarang maklumat kepada JPP.

"Ada yang hantar video dari kafe siber tetapi langsung tak tinggalkan maklumat untuk JPP hubungi mereka.

"Saya minta semua yang hendak mengadu datang. Kami akan lindungi identiti mereka seperti akta whistleblower (pembocor maklumat)," kata beliau.

4,000 petugas siap sedia

Menurut Johari seramai 4,380 petugas cabang dari kesemua 218 cabang PKR seluruh negara telah bersedia menghadapi pemilihan secara terus yang kedua dalam sejarah parti.

Pengundian parti akan bermula 26 April ini sehingga 11 Mei depan dan dilakukan secara berperingkat mengikut negeri.

Seramai 496,923 dari sejumlah 500,001 ahli parti layak mengundi dalam pemilihan parti sepenuhnya yang kedua selepas 2010.

ADS