Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Negeri Sembilan bersedia untuk menjual air terawat kepada Selangor dan Kuala Lumpur yang kini menghadapi masalah bekalan air.

    

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri tiada masalah menjual air ke negeri berkenaan jika sekiranya Kerajaan Persekutuan memerlukan bantuan dari segi itu.

    

"Dalam waktu terdekat, kita boleh jual air maksimum sebanyak 20 juta gelen (91 juta liter) sehari daripada (menerusi) Loji Rawatan Air (LRA) baharu Ngoi-Ngoi di Pantai, Seremban. Kapasiti LRA Ngoi-Ngoi sekarang ialah 30 juta gelen (136.5 juta liter) sehari untuk bekalan Seremban.

    

"Kita boleh jual 20 juta gelen manakala 10 juta gelen (45.5 juta liter) lagi kita perlukan untuk keperluan sendiri. LRA Ngoi-Ngoi mendapat bekalan air mentah dari empangan Triang, Jelebu," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seremban hari ini.

    

Bagaimanapun, katanya untuk rancangan jangka panjang, sebuah lagi LRA baharu perlu dibina untuk membekalkan air terawat ke negeri ini.

    

Mohamad berkata:"Ini disebabkan LRA Ngoi-Ngoi mempunyai kapasiti 30 juta gelen sehari dan sekarang kita gunakan LRA Ngoi-Ngoi untuk mengimbangi LRA Sungai Terip."

    

Jika ada usaha untuk membeli air di negeri ini oleh Kerajaan Persekutuan untuk kegunaan di Selangor dan Lembah Klang maka satu lagi LRA baharu mesti dibina iaitu loji yang lebih besar kapasitinya iaitu sehingga 455 juta liter sehari, katanya.

    

Loji tambahan ini boleh dibina kerana kerajaan negeri telah memperuntukkan satu kawasan berhampiran LRA Ngoi-Ngoi bagi tujuan itu sebagai rancangan jangka panjang.

    

- Bernama

ADS