Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Bukit Gelugor dan peguam kanan Karpal Singh maut dalam kemalangan di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara dekat Kampar awal pagi ini.
 
Pembantu peribadi beliau,  Michael Cornelius Selvam Vellu, 39, turut maut dalam kemalangan itu yang membabitkan kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaiki mereka dengan sebuah lori dalam perjalanan menuju utara berhampiran Gua Tempurung.

Anaknya Ram Karpal dan pemandu kereta itu dilaporkan cedera.

 
Gambar di kawasan kemalangan menunjukkan kenderaan yang dinaiki Karpal rosak teruk.

Anak Karpal - Gobind Singh Deo (kiri) yang juga MP Puchong - memberitahu The Star bahawa bapanya meninggal dunia di tempat kejadian.

"Adik saya Ram cedera ringan tetapi kita cuba untuk menghubunginya, katanya ketika dihubungi The Star pada jam 3.30 pagi.

 
Seorang jurucakap polis memberitahu Malaysiakini kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Alphard tersebut merempuh lori yang menukar laluan tanpa memberi isyarat.
 
Karpal, 74, menjadi lumpuh dan menggunakan kerusi roda selepas terbabit dalam satu kemalangan pada 2005.

Ahli politik lantang ini mendapat ijazah perundangan dari Universiti Singapura dan berkhidmat sebagai peguam sebelum bertanding kerusi Parlimen pada tahun 1978.

 
Perkhidmatan lama beliau sebagai MP Jelutong sebelum ini serta ucapan berapi di Dewan Rakyat menyebabkan beliau digelar 'Harimau Jelutong'.
 
Karpal melepaskan jawatan Pengerusi DAP baru-baru ini selepas

didapati bersalah dalam kes hasutan.

 
Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah melalui laman sosial twitter.
 
"Saya baru mendarat di Ankara (Turki) apabila mendapat khabar YB Karpal terbunuh dalam kemalangan jalan raya. Takziah kepada keluarga beliau," tulis twit tersebut.

Sementara itu, Bernama memetik Ketua Polis Daerah Kampar Supt

Ng Kong Soon berkata Karpal dan Cornelius, 40-an, maut di tempat kejadian.

    

Selain itu, katanya, pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak sementara anak lelaki Karpal, Ramkarpal Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV, C Selvan, 27, yang merupakan warga India, tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan pada pukul 1.10 pagi itu.

Menurutnya, pemandu lori Abu Mansor Mohd, 45, dari Petaling Jaya

mengalami cedera ringan manakala dua penumpang kenderaan itu, Nur Azlina Ahmad, 23 dan seorang kanak-kanak perempuan, Nurieman Diana Qhaleesha Abdullah, 4, tidak cedera.

    

"Siasatan awal polis mendapati kenderaan MPV jenis Toyota Alphard berwarna putih yang membawa lima penumpang termasuk Karpal Singh, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan apabila tiba di kawasan kejadian dan melanggar bahagian kanan lori yang sedang bergerak di sebelah kiri

laluan itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ketika kejadian itu, katanya, Karpal duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu manakala Michael di tempat duduk belakang Karpal.

    

Beliau berkata lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek itu dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara itu memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit.

Ng berkata akibat rempuhan itu, kenderaan Toyota Alphard berkenaan mengalami rosak teruk di bahagian hadapan sebelah kiri manakala lori rosak di bahagian belakang sebelah kanan.

    

"Semakan ke atas kenderaan MPV itu mendapati, ia mempunyai 29 rekod kesalahan lalulintas iaitu pandu laju dan 15 saman masih belum dijelaskan," katanya.

    

Menurut Ng, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk bedah siasat manakala pembantu rumah berkenaan menerima rawatan di hospital sama.

    

Operasi mengeluarkan kesemua mangsa turut dibantu anggota Bomba dan Penyelamat di tempat kejadian, katanya.

    

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta

Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mendiang Karpal dan Michael tiba di hospital besar Ipoh pada jam 7.20 pagi.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (kanan) dan timbalannya, Mohd Rashid Hasnon, dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin turut berada di sana.

Mereka mengucapkan takziah kepada anak Karpal - Gobind dan Jagdeep. Isteri Karpal kelihatan menangis, manakala saudara mara cuba menghalang gambar diambil. Mayat dihantar untuk bedah siasat.

Gobind berkata keluarganya menjangka bedah siasat itu selesai pada jam 10.30 pagi, selepas itu mereka akan membawa mayat pulang ke rumah keluarga mereka di Pulau Pinang sebelum jam 1 tengahari.

 

Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada jam 2.15 pagi, dan beliau serta isterinya, terus bergegas ke tempat kejadian. Gobind dan ibunya, Gurmit Kaur, sempat melihat mayat Karpal.

 

Upacara pengebumian ahli politik veteran itu dijangka dijalankan sama ada pada petang Sabtu atau pagi hari Ahad, katanya.

 

"Mendiang mempunyai keluarga dan rakan-rakan di luar negara dan kami menunggu mereka pulang untuk pengebumiannya," katanya.

 

"Mayat mendiang akan ditempatkan di rumah keluarga kami di Jalan Utama (Pulau Pinang )," katanya.

Gobind berkata Ram, yang mengalami lebam-lebam sedikit, berada dalam keadaan baik.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas sokongan mereka dan berharap mereka memberi keluarganya privasi.

 

Menurutnya, mereka akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkembangan terkini.

Pada kira-kira jam 8.30 pagi, seorang lelaki yang dipercayai pemandu Karpal, Selvam, dilihat menghampiri jabatan forensik di hospital. Dia menangis teresak-esak tetapi beberapa orang membawanya pergi dari situ.

 

Difahamkan mayat mendiang Karpal akan dibakar di dewan pembakaran Sikh pada jam 11 pagi hari Ahad.

ADS