Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zul Noordin: Allah matikan penentang hudud
Diterbitkan:  Apr 17, 2014 10:42 AM
Dikemaskini: 9:05 AM

Bekas Naib Presiden PERKASA Zulkifli Noordin memberi reaksi yang seolah-olah lega dengan pemergian pemimpin DAP Karpal Singh.

 

Peguam tersebut juga percaya, laluan ke arah pelaksanaan hudud Kelantan akan lebih mudah dengan ketiadaan Karpal, yang diketahui umum menentang keras pelaksanaan undang-undang Islam itu.

 

“Dalam keadaan kemelut kerajaan PAS Kelantan mahu melaksanakan hudud dengan bantuan Umno, Allah telah matikan Karpal yang menjadi penentang utama pelaksanaannya!,” tulisnya di Twitter.

 

“Moga perjuangan untuk melaksanakan hudud di Kelantan berjaya.

"Alhamdulillah dengan kesatuan akidah Umno-PAS dan ketiadaan Karpal, saya percaya laluan makin dipermudahkan!”

 

Daripada aspek guaman, Zulkifli yang juga pengamal undang-undang bagaimanapun menganggap perginya seorang peguam veteran yang hebat.

 

“Nama Karpal akan terus tercatat sebagai satu legenda dalam sejarah!” tulisnya lagi.

Reaksi beliau itu muncul tidak lama selepas berita mengenai nahas yang mengakibatkan kematian Karpal mula menjadi tumpuan pagi ini.

Kenyataan beliau itu turut menimbulkan cemuhan pelbagai pihak di media sosial, antaranya ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Menteri tersebut berkata, Zulkifli sebaiknya menutup mulut dan tidak berkata apa-apa.

"Tutup mulut. Sungguh saya kata, tutup mulut," katanya dalam bahasa Inggeris di Twitter.

Menjawab seorang lagi pengguna Twitter, Khairy berkata beliau juga menyatakan bantahan keras ketika Zulkifli dinamakan sebagai calon BN untuk kawasan parlimen Shah Alam ketika pilihan raya Mei 2013.

"Kita tidak perlukan orang sepertinya," kata Khairy.

Sementara itu, presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali pula mengambil peluang ketika merakam ucapan takziah dengan membangkitkan semula kenyataan Karpal yang menyebabkan beliau “hilang rasa hormat” ke atas tokoh DAP tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, walaupun mendiang dikatakan pejuang keadilan, Karpal sebaliknya didakwa tidak menghormati keadilan dalam Islam.

“Satu perkara yang buat saya hilang hormat pada Karpal ialah bila mendiang tidak menghormati agama Islam dengan mengatakan 'langkah mayat dia dulu' sebelum Malaysia jadi negara Islam/atau laksana hukum hudud'.

 

“Sikap ini amat melampau, tidak hormat agama Islam,” kata presiden NGO itu Datuk Ibrahim Ali.

 

“Mendiang juga double standard. Ini menyebabkan saya hilang hormat padanya. Takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.

 

Ibrahim bagaimanapun mengakui Karpal memberikan sumbangan besar mewarnai politik Malaysia dan beliau turut merasakan kehilangannya.

 

“Akhlaknya lebih mulia daripada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim,” tambahnya lagi.

 

ADS