Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM dan TPM ucap takziah kepada keluarga Karpal
Diterbitkan:  Apr 17, 2014 11:00 AM
Dikemaskini: 5:19 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Pengerusi DAP dan anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh yang maut dalam kemalangan, pada awal pagi ini.

    

Najib berkata beliau mendengar berita mengenai kematian Karpal, setibanya beliau di Ankara bagi memulakan lawatan rasmi ke Turki.

    

"Saya baru sahaja mendarat di Ankara apabila saya mendengar berita bahawa YB Karpal Singh meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

    

"Takziah saya kepada keluarga," kata Perdana Menteri dalam mesej Twitternya.

    

Lawatan Najib ke Turki adalah atas jemputan rakan sejawatan beliau, Recep Tayyip Erdogan.

    

Turut terbunuh dalam kemalangan pada jam 1.10 pagi di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar itu ialah pembantu peribadi Karpal, Michael Cornelius, 40-an.

    

Menurut polis, kenderaan Toyota Alphard MPV yang dinaiki Karpal, 74, dan empat orang lain dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang telah terlibat dalam

kemalangan dengan sebuah lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek.

    

Lori berkenaan dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara lebuhraya berkenaan memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin negara hari ini mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Karpal Singh atas kematian mendiang dalam kemalangan, pada awal pagi tadi.

    

"Takziah untuk keluarga mendiang YB Karpal Singh. Semoga ahli keluarga tabah menghadapi dugaan ini," katanya menerusi Twitter.

    

 Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai melalui laman sosial miliknya turut berkongsi rasa sedih dengan berkata: "Kami benar-benar sedih dengan berita kematian mengejut Karpal Singh. Ucapan takziah kepada keluarga mendiang,".

    

Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel berkata pemergian Karpal merupakan satu kehilangan besar bagi dunia politik negara.

    

"Tidak kiralah beliau mewakili pihak mana, mendiang merupakan seorang pemimpin yang bagus dan berkebolehan," katanya.

    

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata: "Ucapan takziah kepada keluarga Anggota Parlimen YB Karpal Singh atas pemergiannya. Ingatan dan doa bersama anda dalam waktu yang sukar ini".

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata: "RIP (bersemadilah dengan tenang) YB Karpal Singh. Takziah kepada keluarga mendiang dari saya sekeluarga dan Wanita BN (Barisan Nasional).

    

Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pemergian Karpal menyebabkan negara kehilangan seorang peguam dan ahli politik yang berwibawa.

Sementara itu, Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Karpal

    

Ucapan takziah itu dibacakan oleh Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Jonny Mositin sejurus memulakan persidangan DUN Sabah yang masuk hari keempat hari ini.

   

 - Bernama

ADS