Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata antara kata-kata terakhir yang ditegaskan oleh mendiang Karpal Singh beberapa hari lalu, sebelum maut dalam kemalangan jalan raya pagi tadi, adalah hasrat untuk kembali sebagai MP.

Lim berkata beliau meluangkan banyak masa dengan Karpal di Parlimen beberapa hari lalu untuk membincangkan mengenai kes hasutan dan denda RM4,000 yang dijatuhkan ke atas MP Gelugor tersebut.

Menurutnya, Karpal bercadang untuk merayu keputusan tersebut pada minggu ini.

Lim berkata DAP juga serba salah ketika menerima peletakan jawatan Karpal sebagai pengerusi kebangsaan.

“Kami beritahu beliau jawatan itu kekal kosong sehingga dia kembali,” katanya lagi.

Tambahnya, Karpal enggan merayu keputusan tersebut kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan, yang boleh memberi pengecualian kepadanya untuk kekal sebagai pengerusi DAP sementara menunggu rayuan mahkamah.

"Beliau mengucapkan penghargaan kepada parti dan berkata, 'Guan Eng, saya pasti kembali. Jangan bimbang, saya pasti akan teruskan'.

“Kami akan merinduinya, begitu juga parti dan rakyat,” kata Lim kepada wartawan di Jabatan Forensik Hospital Besar Ipoh.

Mayat mendiang tiba di hospital pada jam 7.20 pagi untuk bedah siasat dan akan dibawa ke rumah keluarganya di Jalan Utama di Pulau Pinang hari ini.

Mayat beliau dijangka akan dibakar mengikut upacara Sikh pada jam 11 pagi Ahad.

Lim berkata Karpal pergi terlalu awal, memandangkan peguam terkenal itu hanya berusia 74 tahun ketika meninggal dunia.

Tambahnya, masih banyak sumbangan yang boleh dicurahkan oleh Karpal walau dengan keadaan fizikalnya.

Karpal terpaksa menaiki kerusi roda selepas terlibat dalam kemalangan pada 2005.

[Baca berita penuh]

ADS