Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Virus MERS-CoV: 197 diminta awasi kesihatan
Diterbitkan:  Apr 20, 2014 1:20 PM
Dikemaskini: 5:42 AM

Kementerian Kesihatan mengenalpasti 197 individu yang berkemungkinan terdedah dengan 'Sindrom Pernafasan Timur Tengah Bersama Virus Corona' (MERS-CoV), susulan kes kematian seorang lelaki di Batu Pahat, 13 April lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua individu berkenaan bagaimanapun tidak dikuarantin dan dinasihatkan supaya memantau kesihatan masing-masing.

Kesemua 197 orang itu termasuk ahli keluarga serumah, saudara mara, penumpang dari pesawat yang terlibat termasuk dua kumpulan pakej umrah bersama si mati.

Noor Hisham berkata pemantauan itu melibatkan tempoh 14 hari dari tarikh akhir setiap individu tersebut terdedah dengan kes MERS-CoV ini.

"Setiap kontak rapat (yang berada berdekatan si mati) diminta memantau kesihatan masing-masing untuk tempoh selama empat belas hari dari tarikh akhir terdedah kepada kes dan mereka tidak dikuarantin.

“Mereka yang menunjukkan gejala seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas diminta mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham turut menasihatkan individu yang baru pulang dari lawatan ke negara supaya berwaspada sekiranya mengalami gejala jangkitan respiratori seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak.

Katanya, individu terbabit perlu untuk memakai penutup mulut dan hidup dan menjaga adab batuk dan mengamalkan kebersihan diri.

Tambahnya, kementeriannya akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Maklumat terkini berkaitan jangkitan MERS-CoV boleh diperolehi dari laman sesawang http://www.moh.gov.my.

Pada 13 April lepas, seorang lelaki berusia 54 tahun dari Batu Pahat, Johor meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail akibat pneumonia teruk susulan jangkitan MERS-CoV.

Mangsa pulang ke tanah air selepas mengerjakan umrah pada 29 Mac dan mengadu mengalami demam, batuk serta kesukaran bernafas selepas kira-kira 10 hari kemudian dan dimasukkan ke hospital berkenaan pada 10 April.

Bagaimanapun Noor Hisham menegaskan tiada kes baru yang disahkan selepas kematian lelaki tersebut.

"Sehingga 19 April 2014, tiada kes baru dikesan dan tiada kluster jangkitan MERS-CoV dilaporkan dari seluruh negara menjadikan jumlah kumulatif kekal sebagai satu kes kematian.

"Di samping itu, tiada sampel yang positif jangkitan MERS-CoV daripada 31 sampel yang telah diambil dari kontak rapat yang bergejala," kata beliau.

Laporan akhbar pada 17 April lalu menyebut, seramai 64 penduduk Kampung Bintang, Batu Pahat, Johor dikenakan pengawasan rumah selama seminggu di rumah masing-masing.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat dilaporkan berkata, jumlah tersebut adalah daripada 100 penduduk yang telah membuat pemeriksaan di pusat pemeriksaan khas jangkitan MERS-Cov di kampung itu.

ADS