Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan membuat pengumuman pada minggu depan sama ada akan meneruskan atau menghentikan pelan catuan air di negeri Selangor.

Katanya, kerajaan negeri mengambil kira bahawa bekalan air di negeri itu hanya boleh bertahan selama 29 hari sekiranya catuan tidak diteruskan.

“Hari Jumaat minggu depan kita akan umumkan sama ada catuan akan diteruskan atau akan dilanjutkan kepada beberapa jangka masa lagi.

“Buat masa sekarang kita terpaksa meneruskan catuan kerana paras air di empangan utama iaitu Sungai Selangor masih di bawah paras kritikal,” katanya ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini.

Jelasnya, tindakan itu bagi membolehkan bekalan air dapat ditampung bagi memenuhi keperluan semasa sambutan Aidilfitri, akhir Julai.

Beliau berkata demikian hari ini bagi mengulas kekeliruan yang timbul berhubung ura-ura untuk menamatkan pelan catuan berperingkat tersebut, yang dijalankan sejak dua bulan lalu.

Satu laporan laman Utusan Online hari ini memetik Khalid sebagai berkata, beliau akan mengisytiharkan penamatan catuan itu pada minggu depan.

Menurut laporan tersebut, Khalid berkata keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat kerajaan negeri bersama syarikat pegang konsesi pengurusan air dan wakil kerajaan persekutuan pada petang semalam.

Syarikat Bekalan Air Selangor pada hari Ahad lalu pula dilaporkan mengumumkan bahawa pelan catuan air itu dijangka ditamatkan pada 30 April.

Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan bahawa keputusan tersebut bergantung kepada keputusan kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Dalam perkembangan lain, Khalid turut menggariskan beberapa rancangan kerajaan negeri untuk memperolehi sehingga 1,000 juta liter air sehari (JLH) untuk meningkatkan bekalan air di negeri itu.

Ia termasuk usaha untuk meneroka kolam bekas lombong dan sumber air di hilir sungai untuk ditakungkan di kolam di sekitar lembangan Sungai Selangor, katanya.

Menurut Khalid, kerajaan negeri juga merancang untuk melombong sumber air bawah tanah bagi menghasil antara 300 juta hingga 400 JLH.

Kerajaan juga merancang untuk mengguna sistem pembenihan awan seperti yang digunakan di Thailand, dinamakan The Royal Rainmaking Technology bagi menghasilkan hujan hingga tiga kali seminggu, katanya lagi.

"Lembaga Urus Air Selangor juga telah diarahkan untuk menghubungi kerajaan Thailand untuk menggunakan teknologi pembenihan awan yang dikenali sebagai The Royal Rainmaking Technology untuk mendapatkan hujan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

"Kita menjangkakan usaha-usaha yang disebut di atas akan dapat menghasilkan kira-kira 1,000 JLH air mentah. Jika petunjuknya positif dalam tempoh seminggu, kerajaan negeri bersedia kaji semula keputusan catuan air," katanya dalam sidang media di Shah Alam, pagi tadi.

ADS