Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendedahkan salinan sepucuk surat yang didakwanya 'arahan' Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memberi geran kepada sebuah syarikat swasta.

Menurut Rafizi dalam surat tersebut jelas membuktikan campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap pemberian geran kajian dan pembangunan (R&D) berjumlah RM100 juta untuk sebuah projek komersial.

Rafizi mendakwa Najib ( kanan ) menulis nota kepada kepada menteri Sains, teknologi dan inovasi (Mosti) berbunyi "YB Datuk Dr Ewon Ebin. Untuk pertimbangan. Saya tiada halangan jika projek itu sesuai".

"Walaupun ada kata itu hanya satu pertimbangan dan kelulusan di tangan menteri, dalam budaya politik kita, bila PM tulis 'untuk pertimbangan' itu (bermaksud) satu arahan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling jaya hari ini.

Rafizi berkata surat itu turut menyatakan syarikat tersebut meminta geran menerusi JPM kerana menghadapi masalah mendapatkan pinjaman dari institusi perbankan.

“Ada risiko besar bahawa pulangan projek tak mencukupi untuk membayar balik sebarang dana yang disuntik ke dalam projek ini," kata beliau.

Semalam Rafizi mendakwa, pemberian kepada syarikat tersebut bertentangan dengan prosedur dan tatacara biasa pemberian geran R&D bawah MOSTI yang menetapkan untuk projek bawah RM2 juta dan bukan untuk projek komersial.

The Malay Mail Online kelmarin melaporkan Timbalan Menteri Mosti Datuk Abu Bakar Mohamad Diah sebagai berkata, kementerian tidak menguruskan secara langsung pemberian geran itu tetapi dibuat melalui jawatankuasa bebas.

Malaysiakini sudah menghubungi jurucakap syarikat di Pahang yang mengesahkan mereka sudah membina loji dandang di Terengganu dan ia hampir siap.

Nama syarikat itu tidak dinyatakan buat masa ini sementara menunggu jawapan daripada pengarahnya.

ADS