Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mencabar MCA mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya benar terdapat penyelewengan dalam jualan bekalan air menggunakan lori tangki persendirian.

Pengurus besar syarikat tersebut, Priscilla Alfred Dharan yang menafikan tuduhan tersebut berkata tuduhan berkenaan tidak berasas kerana MCA masih belum mengemukakan sebarang bukti mengenainya.

"SYABAS melihat dakwaan ini adalah satu tuduhan yang amat berat dan tidak berasas kerana ianya dibuat tanpa sebarang bukti dan fakta sebenar.

"Justeru, pihak SYABAS akan menghantar surat kepada pihak MCA meminta bukti yang berkaitan dikemukakan kepada pihak SYABAS dalam tempoh tertentu bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

"SYABAS turut mengalu-alukan pihak yang mempunyai bukti terhadap penyelewengan di dalam transaksi penjualan dan pembelian air menggunakan lori tangki persendirian kepada pengguna industri/komersial ini membuat laporan terus kepada pihak berkuasa termasuk SPRM," kata Dharan.

Jelasnya, syarikat tersebut mengikut syarat dan prosedur yang ditetapkan dalam penjualan air kepada pengguna industri dan komersial itu.

Jelasnya lagi, SYABAS mengenakan dua jenis bayaran kepada pengguna berkenaan – RM2.07 untuk kos setiap meter padu air dan RM100 untuk kos pentadbiran bagi setiap lori tangki.

"Berdasarkan kepada kadar ini, untuk pengguna yang menyediakan lori tangki air bermuatan 5,000 liter (5 meter padu), caj yang dikenakan oleh SYABAS adalah sebanyak RM110.35.

“Sementara bagi lori tangki air yang bermuatan 20,000 atau 24,000 liter (20 atau 24 meter padu), caj yang dikenakan oleh SYABAS adalah sebanyak RM141.40 atau RM149.68 sahaja," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim ketika ditanya mengenai perkara itu hari ini menegaskan bahawa MCA boleh mengambil tindakan sekiranya dakwaan tersebut berasas.

Dalam laporan semalam MCA Selangor mendakwa kontraktor tangki air persendirian itu mengambil kesempatan daripada catuan air dengan mengenakan bayaran berlebihan kepada pengguna.

Naib ketua biro publisiti MCA Selangor Tan Bok Koon mendakwa perkara itu diketahuinya melakui satu dokumen, didakwa menyenaraikan sembilan kontraktor tangki air.

"Setakat yang saya tahu, terdapat 300 (swasta) kapal tangki air berkhidmat masyarakat industri di Klang, dan saya percaya bilangan kapal tangki di seluruh negeri boleh mencapai ribuan," katanya.

Beliau mendakwa syarikat terbabit mengaut keuntungan berlebihan dengan mengenakan harga air sehingga RM1,200 untuk setiap lori.

ADS