Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Parti Thai berbelah bahagi tarikh PRU baru
Diterbitkan:  Apr 23, 2014 11:00 AM
Dikemaskini: 3:07 AM

Keseluruhannya, parti politik Thailand bersetuju untuk mengadakan pilihan raya umum selepas pilihan raya yang diadakan pada 2 Feb lepas diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Perlembagaan.

Bagaimanapun, mereka masih berbelah bahagi tentang bilakah ia sepatutnya diadakan.

Suruhanraya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan tiga tarikh, iaitu 20 Julai, 17 Ogos atau 14 Sept, namun tidak mendapat sokongan padu daripada 58 parti yang menghadiri mesyuarat tiga jam tengah hari semalam untuk mencari penyelesaian.

Parti pemerintah Pheu Thai Party yang merupakan pilihan untuk memenangi pilihan raya itu sekiranya diadakan, mahu tarikh lebih awal, manakala parti politik kecil berharap ia diadakan seberapa segera.

Parti Demokrat, parti pembangkang utama yang memulau pilihan raya umum Februari lepas, tidak menghantar wakil selepas ketuanya, bekas perdana menteri Abhisit Vejjajiva enggan hadir disebabkan soal keselamatan.

Sekurang-kurangnya dua wakil daripada parti politik keluar ketika mesyuarat sedang berlangsung disebabkan tidak berpuas hati dengan giliran untuk bercakap.

Beratus-ratus penunjuk perasaan, diketuai sami Buddha Issara daripada Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat, tampil sebelum mesyuarat bermula dan mengadakan tunjuk perasaan aman dengan menggesa supaya pembaharuan mengambil tempat sebelum pilihan raya itu diadakan.

Beliau kemudian menyerahkan kain rentang menggesa agar diadakan pembaharuan sebelum pilihan raya kepada pegawai SPR, dan kain rentang itu kemudiannya digantung di dalam bilik mesyuarat ketika perbincangan sedang berlangsung.

Dalam mesyuarat berkenaan, wakil Pheu Thai, Pokin Palakul berkata konflik yang melanda negara itu boleh diselesaikan dengan 'mendengar' suara rakyat menerusi undi.

Seorang anggota SPR, Somchai Srisitthiyakorn berkata suruhanjaya itu boleh menetapkan tarikh pilihan raya tetapi kumpulan politik yang berbalah itu perlu berunding terlebih dahulu.

Seorang wakil daripada parti yang kecil, Thai Rak Tham Party, mencadangkan supaya SPR mengadakan pendaftaran pilihan raya di kawasan pangkalan tentera atas faktor keselamatan memandangkan pendaftaran sebelum ini diganggu penunjuk perasaan antikerajaan.

Akibatnya, pendaftaran tidak dilakukan di beberapa lokasi, sehinggakan pilihan raya itu diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Perlembagaan.

- Bernama

ADS