Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang akan diadakan pada 25 Mei ekoran kematian penyandangnya dari DAP, Karpal Singh.

Manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 12 Mei, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof hari ini.

Karpal yang mewakili kerusi tersebut sejak tahun 2004, meninggal dunia dalam kemalangan berhampiran Kampar pada 17 April lalu.

Karpal menang dengan majoriti lebih 42,000 undi dalam pilihan raya umum lalu.

Pengundian awal akan diadakan pada 21 Mei, manakala SPR mengekalkan tempoh berkempen selama 13 hari.

Menurut Abdul Aziz, tarikh tersebut dipilih dengan mengambil kira pemilihan PKR dan juga Hari Buruh.

Ini adalah PRK pertama bagi kerusi Parlimen selepas pilihan umum ke-13 (PRU13). Empat PRK selepas PRU13 sebelum ini semuanya bagi kerusi negeri - masing-masing satu di Kedah, Selangor, Sarawak dan Terengganu.

PRK pertama ialah Kuala Besut, yang dimenangi oleh BN, diikuti kemenangan PAS di Sg Limau di Kedah.

Kedua-dua PRK ini diadakan ekoran kematian penyandangnya. PRK terbaru di Balingian, diadakan selepas penyandangnya, bekas Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud, mengosongkan kerusi itu untuk menjadi yang dipertua negeri. [Berita lanjut menyusul]

Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Aziz berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2012 yang digabungkan dengan daftar pemilih 2013 suku tahun pertama, kedua, ketiga dan keempat.

    

"Sebanyak 21 pusat pengundian akan dibuka, 17 daripadanya untuk pengundian biasa dan selebihnya untuk pengundian awal" katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan kerusi berkenaan.

Abdul Aziz berkata bagi Pilihan raya kecil (PRK) itu, Dewan Sri Pinang, Georgetown dipilih sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

    

"Bagi tujuan PRK kali ini juga seramai 1,095 orang petugas akan dilantik dan membabitkan kos perbelanjaan RM1.9 juta," katanya.

    

Sebanyak 82,431 pemilih berdaftar terdiri daripada 82,255 pengundi biasa, 148 pengundi awal dan 28 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

    

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK itu akan mula dijual pada 6 Mei.

    

Pengundi yang ingin membuat semakan boleh melayari laman sesawang www.spr.gov.my serta melalui khidmat pesanan ringkas SPR <jarak>SEMAK<jarak>NO KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888 mulai tarikh sama.

Dalam PRK kali ini juga Abdul Aziz berkata SPR hanya akan melantik pemerhati tempatan dan tidak iktiraf pemerhati lain.

    

"Pemerhati dilantik dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dibenarkan membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses penjumlahan undi," katanya.

    

Bagi memastikan proses pelaksanaan pilihan raya itu berjalan lancar, beliau berkata semua pihak diminta mematuhi arahan polis dalam menjaga ketenteraman awam dan keselamatan urusan pilihan raya.

    

"Pemimpin parti politik, calon, petugas dan penyokong, NGO dan mana-mana individu terlibat semasa berkempen hendaklah mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya serta tata etika berkempen semasa tempoh rasmi kempen," katanya.

 

ADS