Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebagai kerajaan yang mengutamakan rakyat, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan mengambil kira pandangan rakyat dan NGO apabila merumuskan kenaikan tarif air sebagai salah satu daripada langkah untuk mengelakkan catuan air.

Ini berikutan permintaan awam untuk tidak meningkatkan band pertama tarif air sebanyak "0-20 m3 pada 22 sen/m3" (tiada perubahan) untuk memberi ganjaran kepada mereka yang menjimatkan air.

Saya telah mengingatkan pengurus besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Jaseni Maidinsa bahawa kenaikan tarif air perlu mengurangkan penggunaan air yang tinggi di Pulau Pinang tetapi dalam masa yang sama tidak membebankan golongan berpendapatan rendah dan tidak menghukum pengguna air yang cermat.

Selepas kenaikan tarif, PBAPP telah diarahkan untuk memastikan bahawa tarif domestik 35,000 liter air yang pertama di Pulau Pinang masih lagi yang terendah di Malaysia.

PBAPP mencatatkan pengurusan bekalan air yang paling cekap di Malaysia dengan kehilangan air dari segi Air Tanpa Hasil (Non-Revenue Water) pada kadar 17.6 peratus, iaitu kadar terendah di Malaysia berbanding dengan purata negara sebanyak 36.4 peratus.

PBAPP masih berjaya mengekalkan keuntungan tahunan walaupun mempunyai tarif air domestik yang paling rendah di negara ini serta menelan belanja subsidi sebanyak RM70 juta.

Malangnya, tarif air paling rendah di negara ini telah menyebabkan penggunaan air domestik di Pulau Pinang menjadi yang tertinggi di negara ini pada kadar 311 liter per kapita sehari (l/c/d).

Penggunaan air di Pulau Pinang adalah 50 peratus melebihi purata negara sebanyak 212 l/c/d. Singapura menggunakan 151 manakala cadangan Bangsa-bangsa Bersatu ialah pada kadar 100.

Selain itu, tiada projek yang ditangguhkan kerana kekurangan air atau catuan meskipun pembangunan di Pulau Pinang dalam tempoh enam tahun yang lalu sangat pesat berbanding dengan 18 tahun yang lepas.

Setakat ini, Pulau Pinang bernasib baik kerana dapat mengelakkan catuan air, tidak seperti beberapa negeri lain, tetapi hal yang merunsingkan adalah ramalan Jabatan Kaji Cuaca berkenaan kemarau yang berpanjangan selama 5 bulan dari Mei hingga September.

Dalam keadaan yang mencabar ini, kita tidak boleh terus dengan cara lama. Kerajaan negeri Pulau Pinang mesti bertindak secara bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah, termasuk kenaikan tarif air untuk mengurangkan penggunaan air yang tinggi bagi mengelakkan catuan air.

Tumpuan berkenaan permintaan air ini telah membuatkan beberapa media arus perdana untuk mempersoalkan mengapa tidak ada tumpuan yang sama terhadap bekalan air dengan mencari sumber-sumber baru dan tambahan air untuk mengelakkan catuan air.

Dengan adanya bekalan air tambahan, maka tidak akan ada keperluan untuk mengurangkan penggunaan melalui peningkatan tarif air.

Jelas beberapa media arus perdana telah mengabaikan usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan Skim Air Mentah Sungai Perak atau Sungai Perak Raw Water Scheme (SPRWS) untuk mendapatkan bekalan air tambahan dari Sungai Perak.

Malangnya, kerajaan negeri gagal dalam usaha meminta kerajaan Persekutuan untuk menyuntik RM300 juta bagi melaksanakan SPRWS tersebut, sementara baki RM1.7 bilion, akan dibelanjakan oleh PBAPP untuk membina loji rawatan air yang diperlukan.

Dalam surat bertarikh 18 September 2013 kepada saya, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maksimal Ongkili menolak pemberian RM300 juta untuk SPRWS dan berkata bahawa kerajaan negeri perlu memberi fokus kepada mengurangkan penggunaan air dalam negeri yang tinggi dan bukannya SPRWS.

PBAPP telah berusaha untuk meningkatkan program pendidikan penjimatan air dan memperkenalkan surcaj pemuliharaan air (WCS) bagi menghukum mereka yang menggunakan air yang berlebihan untuk menggalakkan penjimatan air.

Malangnya usaha-usaha ini gagal dan penggunaan air domestik meningkat daripada 285 l/c/d pada 2011 kepada 311 pada 1 Mac 2014.

Jika mengenakan tarif air domestik yang lebih tinggi dapat mengurangkan penggunaan air domestik supaya Pulau Pinang boleh mengelakkan catuan air dan berjaya melaksanakan SPRWS bernilai RM2 bilion, maka tindakan ini perlu dilakukan.

Pokoknya: “Walaupun mereka yang mengalami catuan air di negeri-negeri lain sanggup membayar lebih sekarang, mereka tidak boleh membayar lebih untuk mengelakkan catuan air kerana tidak ada air yang mencukupi untuk dibekalkan”.

Sebab itu, marilah kita memastikan bahawa dasar “tidak ada catuan air di Pulau Pinang” berjaya dikekalkan.


LIM GUAN ENG ketua menteri Pulau Pinang.

ADS