Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Penganjur himpunan 1 Mei ini bagi membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak berganjak daripada rancangan awal menjadikan Dataran Merdeka sebagai destinasi akhir.

Himpunan itu dijadual bermula dari KLCC dan akan bergerak ke Dataran merdeka di ibu negara.

Jurucakap penganjur S Arutchelvan mempertahankan tindakan itu atas alasan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk berhimpun secara aman.

"Pihak kami mengadakan himpunan dan sambutan Hari Pekerja selaras dengan peruntukan dalam Perkara 10, perlembagaan negara iaitu hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata," Arutchelvan pada sidang media pagi ini.

Sidang media pagi tadi juga menyaksikan satu garis panduan peserta himpunan 1 Mei diedarkan kepada media.

Salah satu di antaranya adalah tiada bendera parti politik akan dibenarkan untuk himpunan itu.

Mengulas perkara itu, Arutchelvan berkata perkara itu telah dipersetujui dengan Pakatan Rakyat yang akan mengendalikan himpunan di Dataran Merdeka.

"Ini adalah persetujuan dengan Pakatan untuk menghormati Hari Pekerja dan kita hormati Hari Pekerja," katanya.

Gesa polis penuhi janji

Memberi jaminan yang himpunan itu akan berlangsung aman, Arutchelvan turut mengulas kenyataan polis yang berjanji hanya akan bertindak jika terdapat ancaman terhadap ketenteraman awam.

"Kami harap mereka akan memenuhi janji mereka," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengulas keputusan mahkamah pagi ini membabitkan hukuman terhadap kegagalan memberikan notis 10 hari di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Mahkamah Rayuan pagi ini memutuskan hukuman terhadap peruntukan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan.

"Keputusan mahkamah ini penting dan kita mengalu-alukannya.

"Kita hormatinya dan harap lebih ramai akan turun (pada 1 Mei)," katanya.

Dalam satu keputusan penting oleh mahkamah kedua tertinggi di negara ini, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) yang menghukum mereka yang tidak memberikan notis 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan, adalah tidak sah.

ADS