Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Impian skuad hoki negara untuk meraih tiga mata pertama berkecai selepas tewas 1-3 dengan pendahulu kumpulan B, Korea Selatan pada hari kedua, saingan peringkat kumpulan, Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara 1 di Stadium Hoki Indera Mahkota di Kuantan, malam tadi.
 
Korea Selatan bermula garang apabila Nam Hyun Woo menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-20 menerusi pukulan sudut penalti.
 
Usaha Malaysia menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi cubaan pukulan sudut penalti oleh Muhammad Shahril Saabah gagal apabila bol terkena tiang gol.
 
Bersambung pada babak kedua, skuad kendalian Shin Seok Kyo terus menghukum Malaysia menerusi gol padang yang dijaringkan oleh You Hyo Sik pada minit ke-37 sebelum Jang Jong Hyun menambah duka pasukan hoki negara pada minit ke-50.
 
Gol saguhati Malaysia disumbangkan Ismail Abu menerusi gol padang pada minit ke-69.
 
Pengendali skuad hoki negara, Mohammad Dhaarma Raj Abdullah berkata kegagalan hari ini disebabkan oleh beberapa faktor apabila skuad negara gagal menyempurnakan beberapa peluang yang hadir di depan mata.
 
"Berbanding dengan Korea Selatan kita mempunyai enam peluang untuk menjaringkan gol apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti namun disebabkan oleh beberapa kesilapan yang masih dilakukan kita gagal untuk menjaringkan gol," katanya kepada pemberita semalam.
 
Beliau berkata cabaran sebenar pasukan yang beraksi di kejohanan ini hanya dilihat selepas aksi separuh akhir pada Rabu nanti namun Malaysia tetap optimis untuk memperoleh tiga mata pada perlawanan penutup peringkat kumpulan menentang Kanada.
 
"Tiga mata terakhir tersebut amat penting bagi Malaysia agar tidak berdepan dengan pasukan pilihan utama iaitu New Zealand," katanya.
 
Beliau berkata pasukan akan terus berusaha membaiki kesilapan yang ada bagi memastikan kemenangan pada perlawanan yang akan datang.
 
Sebelum itu, Kanada yang turut beraksi dalam kumpulan B mengalahkan Perancis 3-2.
 
Pada perlawanan sebelah petang membabitkan saingan kumpulan A, New Zealand selaku pendahulu kumpulan itu mencatat kemenangan kedua selepas membelasah Jepun 6-1, manakala Poland mengutip tiga mata pertama selepas mengalahkan Ireland 2-1.
 
Malaysia dijadualkan menentang Kanada pada perlawanan penutup peringkat kumpulan pada Rabu ini, manakala Korea Selatan akan bertemu Perancis.
 
Pendahulu kumpulan A, New Zealand akan berhadapan menentang Poland, manakala Ireland akan bertemu Jepun sebelum mara ke pusingan suku akhir juga pada hari yang sama.
 
- Bernama

ADS